Semua hasil pembangunan akan dinikmati oleh warga negeri, ikrar Kon Yeow

Admin
BATU MAUNG – Pencapaian Pulau Pinang yang menyumbang 42 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan negara pada suku pertama tahun ini adalah hasil dorongan dan kepercayaan Kerajaan Persekutuan, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut Kon Yeow, pelaburan sektor pembuatan berjumlah RM8.8 bilion pada suku pertama 2019 bagi Pulau Pinang sekaligus menjadikan Negeri sebagai penyumbang tertinggi dalam negara setakat ini.
“Ia adalah angka yang amat memberangsangkan… saya ingin rakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Kementerian Kewangan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kerana membantu memperkenal serta menonjolkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan dalam kalangan pelabur.
“Terima kasih kerana melihat potensi Pulau Pinang yang merupakan sebuah negeri industri,” ucapnya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dekat Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana di sini sebentar tadi.
Kehadiran barisan pemimpin serta rakyat pelbagai kaum dan agama disambut penuh mesra oleh tuan rumah yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain serta isteri.
Turut menyerikan majlis, Timbalan Ketua Menteri I,  Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; ADUN-ADUN dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berjanji bahawa semua hasil pembangunan akan dinikmati oleh semua warga negeri.
Menurutnya, pembangunan tidak akan memberi sebarang makna jika ianya tidak dapat dinikmati oleh rakyat kebanyakan.
“Kerajaan Negeri memang sentiasa peka bahawa hasil pembangunan semestinya dinikmati oleh rakyat, jika rakyat tidak dapat nikmatinya apa tujuan kita melaksanakan pembangunan.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus tunaikan kewajipan kepada rakyat secara jujur, ikhlas dan telus dalam membawa urus tadbir baik serta mendapatkan lebih banyak limpahan projek yang memberi faedah kepada rakyat.
“Kita akan pastikan hubungan sosial, pendidikan, agama semuanya mendapat perhatian sewajarnya serta pihak Kerajaan Negeri akan meneruskan semua program-program sosial yang telah diperkenalkan sejak tahun 2008,” ujar beliau lanjut.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Video & Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI