Semua negeri perlukan ‘empangan strategik’ seperti Pulau Pinang, syor Jaseni kepada Menteri Kewangan

Admin

 

PENANTI – Semua negeri memerlukan ‘empangan strategik’ seperti Empangan Mengkuang, Pulau Pinang demi mengelak risiko kekurangan bekalan air dalam menghadapi musim kemarau panjang saban tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata bahawa pihaknya telah mensyorkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai peri penting membina empangan strategik di tiap-tiap negeri demi mengelak langkah catuan air yang ternyata menyusahkan rakyat teramai.

“Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang telah merancang untuk menyediakan empangan strategik…empangan (strategik) ini menyimpan air sehingga musim kemarau panjang.

“Apabila empangan itu adalah ‘empangan strategik’, bukan semacam Empangan Ayer Itam atau Empangan Teluk Bahang yang berfungsi sebagai ‘empangan harian’.

“Apabila (paras air) ‘empangan harian’ menurun (disebabkan kemarau panjang), kita (Pulau Pinang) masih ada takungan untuk membekalkan air semasa kemarau panjang.

“(Syor membina empangan strategik) ini telah saya perakukan kepada Kerajaan Pusat supaya tiap-tiap negeri patut ada empangan strategik.

“Kalau tidak (dibina empangan strategik), apabila musim hujan lebat, kita membazir air itu ke laut, sebab itu lah tiap-tiap negeri mesti ada empangan strategik,” jelasnya kepada pemberita ketika mengiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meninjau paras air di Empangan Mengkuang dekat sini pada 16 Februari 2020.

Jaseni memberitahu bahawa keperluan Kerajaan Pusat membina empangan strategik di tiap-tiap negeri adalah lebih penting, walaupun akan melibatkan perbelanjaan persekutuan yang banyak.

“Nak membina empangan strategik memerlukan banyak wang, tetapi musim kemarau panjang, satu-satu ‘alat’ yang boleh menyelamat negeri-negeri adalah empangan strategik.

“Ini, telah dibuktikan di Pulau Pinang,” ujarnya lagi sambil memohon pertimbangan Guan Eng.

Selain itu, Jaseni turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana menyokong Dasar Empangan Strategik yang diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam reaksi spontan, Guan Eng memberitahu bahawa syor itu biarlah dipertimbang oleh kementerian berwajib lain, bukan Kementerian Kewangan.

“(Syor pembinaan empangan strategik) ini, saya serah kepada kementerian berkaitan,” responsnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut menzahirkan rasa syukur kerana paras air di Empangan Mengkuang ketika ini pada kadar 72 peratus adalah mencukupi untuk keperluan penduduk sehingga hujung tahun 2020.

“Masa projek (pembesaran Empangan Mengkuang) diluluskan (oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu), sebagai gantian adalah mendapat sebahagian wang, dan sebagai gantian adalah membenarkan penghijrahan aset PBA(PP) kepada (agensi persekutuan) PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad)

“Penghijrahan aset (air) kepada PAAB itu masa itu (dilakukan) di bawah Kerajaan Pusat (terdahulu) adalah untuk membolehkan empangan ini dapat dibina (diperbesarkan).

“Ini, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya apa yang dirancang (pembesaran Empangan Mengkuang untuk meningkatkan kapasiti bekalan air bagi menghadapi musim kemarau paling panjang) dapat dicapai.

“Sekurang-kurangnya (pada hari ini) saya dapat melihat ia (Empangan Mengkuang) telah memainkan fungsinya, kapasitinya 72 peratus daripada kapasiti penuh sememangnya dapat menampung semua keperluan air sampai akhir tahun (2020),” ulasnya.

Dalam perkembangan lain, Jaseni menyatakan bahawa kerja-kerja mitigasi 23 tapak tanah runtuh di sekitar kawasan Empangan Mengkuang sedang dilaksanakan melalui Bahagian Bekalan Air di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Kita perlu ingat tanah runtuh ini berlaku dalam dua kejadian, satu pada (November) 2017 dan kemudian jadi sekali lagi setahun kemudian.

“Maka, kerja-kerja (mitigasi) memakan masa, mereka (kementerian) telah melantik kontraktor untuk membaiki tanah runtuh di keliling empangan ini.

“Kerja-kerja (mitigasi 23 tapak tanah runtuh) sedang dijalankan,” respons beliau.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir; Zairil Khir Johari; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Pon; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye turut sertai sidang media di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS