Semua pihak perlu ambil peduli santuni isu kesihatan mental belia, seru Exco

f03136c1 8b1f 4ee7 82bc e19983c6f457

GEORGE TOWN – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menyeru kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan warga pendidik untuk sama-sama mengambil peduli dalam menyantuni kesihatan mental belia.

 

Menurutnya, kesihatan mental merupakan asas kesejahteraan seseorang individu dan mencerminkan kemampuan sesebuah masyarakat berfungsi secara efektif terutama golongan belia yang bakal mengemudi negara pada masa hadapan.

 

Pada peringkat komuniti intervensi melalui badan bukan kerajaan (NGO) atau korporat dalam menangani isu kesihatan mental juga  penting bagi membawa perubahan demi melahirkan generasi yang lebih sihat dan sejahtera.

 

“Saya percaya, melalui intervensi ini juga, kita akan dapat membina generasi yang mempunyai daya tahan tinggi, empati serta tidak takut mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

 

“Tidak terhenti di situ, media arus perdana juga mempunyai peranan dalam menyebar luas kesedaran umum tentang kesihatan mental.

 

“Bersama-sama kita semua boleh menangani isu kepincangan sosial dengan lebih berkesan dan mencipta perubahan dengan memupuk sikap keterbukaan, saling memahami dan sedia memberi sokongan,”  ujarnya pada sidang media Kempen Pencegahan Bunuh Diri di Komtar pagi ini.

34e4b5cd f7ea 4aa5 8928 a579d4c4f5ad
DANIEL Gooi Zi Sen pada sidang media di Komtar.

Difahamkan, Kempen Pencegahan Bunuh Diri merupakan inisiatif Presiden Pertubuhan Kebajikan Sneham Malaysia (Sneham) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat MMK Belia, Sukan dan Kesihatan serta disokong oleh rakan korporat, Boston Scientific.

 

Mengulas lanjut Zi Sen memaklumkan bahawa pada peringkat kerajaan, baik persekutuan mahupun negeri, memandang serius isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan belia dengan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental.

 

Inisiatif seperti program Mentari dan menyediakan talian khidmat pelanggan berasaskan komuniti seperti talian Heal 15555 misalnya dilihat dapat membantu memberi sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan.

“Malah, kita (peringkat kerajaan) juga menggalakkan penyertaan NGO dan badan korporat untuk perluaskan jangkauan dalam meningkatkan kesedaran umum serta ‘mematahkan’ stigma masyarakat tentang kesihatan mental,” katanya.

 

Terdahulu, Zi Sen memaklumkan bahawa statistik kemurungan dan bunuh diri dalam kalangan belia di seluruh dunia amat membimbangkan.

 

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2019 mendedahkan bahawa kes bunuh diri berada pada kedudukan keempat punca kematian dalam kalangan individu berusia 15 hingga 29 tahun.

 

“Lebih membimbangkan, lebih 58 peratus kes bunuh diri berlaku sebelum usia 50 tahun yang mana sebahagian besar adalah dalam kalangan remaja iaitu 88 peratus di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 menunjukkan bahawa satu juta individu berumur 15 tahun dan ke bawah mengalami kemurungan dan ia menunjukkan trend membimbangkan, meningkat dua kali ganda dari tahun 2019 hingga 2023.

 

“Tinjauan itu juga merekodkan peningkatan ketara dalam isu kesihatan mental membabitkan kanak-kanak yang mana ia meningkat dari 7.9 peratus pada 2019 ke 16.5 peratus pada 2023,” jelasnya.

b4debe60 3d7d 4769 8ff3 7fc9c442a053
DR. Florance Sinniah.

Sementara itu, Pengasas yang juga Presiden Sneham, Datuk Dr. Florance Sinniah memberitahu, pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan intervensi kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri dalam kalangan pelajar.

 

“Pada Disember 2023, pihak kami telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melaksanakan Kempen Pencegahan Bunuh Diri : Kenali Tanda-Tanda terutama dalam kalangan pelajar.

 

Sehingga Ogos tahun ini, Sneham telah berjaya menarik penyertaan 15 buah sekolah rendah dan menengah membabitkan 3,675 pelajar dalam 15 sesi advokasi kesihatan mental.

 

“(Dan) kempen ini akan diteruskan lagi ke lain-lain sekolah ataupun institusi pendidikan untuk meningkatkan tahap kesedaran umum mengenai kesihatan mental (golongan belia),” katanya.

 

Nada sama turut dikongsi oleh Naib Presiden (Operasi) Boston Scientific, Fearghal Hennessy yang turut serta dalam sidang media berkaitan.

 

Jelasnya, kempen tersebut penting dan selaras dengan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Boston Scientific.

 

Dalam pertemuan bersama-sama Ketua Menteri setahun lalu, saya memberitahu bahawa Boston Scientific sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam merealisasikan strategi ESG dengan menghulurkan apa jua bantuan kepada komuniti.

 

“(Dan) melalui kempen ini, ia merupakan sebahagian daripada usaha kami dalam memastikan kesejahteraan kesihatan mental terutama dalam kalangan belia di sini,” katanya.

455688882 10226679011943557 8849180665666148065 n
SESI ceramah yang bakal diadakan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Dalam perkembangan lain, bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, Sneham menganjurkan Mental Health Awareness Talk : Change The Narrative pada 14 September 2024 di IPK College, Bukit Mertajam.

 

Sila imbas kod QR untuk maklumat lanjut. Penyertaan adalah percuma dan terhad.

 

 

Gambar : LAW SUUN TING