GEORGE TOWN – Semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk membantu meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata STEM merupakan elemen penting dalam memenuhi matlamat Kerajaan Negeri selaras dengan Visi Penang2030 dan matlamat pembentukan Malaysia Madani.
“Bidang pendidikan yang kukuh merupakan wadah penting dalam usaha membina generasi masa hadapan yang berdaya iniovatif dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Elemen pendidikan (STEM) penting dalam memajukan ketersediaan industri pembuatan tempatan untuk era digital dan ekonomi hijau di Pulau Pinang yang terkenal sebagai hab industri berteknologi tinggi.
“Lantaran itu, tidak dinafikan juga bahawa pendidikan merupakan platform utama yang dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi mengisi keperluan industri,” ujarnya semasa berucap pada majlis penutupan Konvensyen Projek Inovasi Pendidikan STEM Pulau Pinang (PesInPro) dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Abdul Rashid Abdul Samad; Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan PPD, Wan Sajiri Wan Hassan serta barisan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pendidik.
Menurut Mohamad lagi, usaha berterusan untuk meningkatkan minat murid dalam STEM memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak.
“Usaha gigih serta penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi awam dan swasta perlu digemblengkan lagi dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, diharapkan kerjasama yang terjalin ini dilibatkan secara menyeluruh bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke tahap pengajian tinggi,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu turut menzahirkan ucapan tahniah khusus terhadap seluruh jawatankuasa penganjur yang telah menjayakan inisiatif berkaitan.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang bertungkus lumus mengangkat bidang STEM di Pulau Pinang.
“Saya amat yakin usaha yang dilakukan ini bakal menjadi asbab dalam melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif selaras dengan elemen yang terkandung dalam bidang STEM,” tambahnya.
Difahamkan, PesInPro diadakan selama tiga hari bermula 19 sehingga 21 September 2023 melibatkan tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran STEM; Projek Inovasi STEM dan Inovasi Pendidikan Khas STEM (Pendidikan Khas).
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : M. VEKENESVARAN