Semua pihak perlu hormati hak pengundi, tegas Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Semua pihak perlu menghormati kehendak dan hak pengundi sepenuhnya dalam memilih pemimpin yang akan menentukan masa depan sesebuah negeri itu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pengundi mempunyai hak untuk memilih sesiapa pun yang difikirkan sesuai untuk memimpin negeri ini.

 

“Maka, semua pihak perlulah menghormati kebijaksanaan para pengundi dan terpulang kepada para pengundi untuk menentukan pilihan mereka,” tegasnya pada sidang media di sini tadi.

 

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan berhubung kenyataan seorang timbalan pengerusi sebuah parti politik semalam, mengenai jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang disandang oleh individu bukan anak negeri selama ini.

 

Tambah Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, sejak tiga penggal lalu, rakyat Pulau Pinang telahpun memilih dan membuat keputusan.

 

“Keputusan tersebut patut dihormati oleh semua yang mana sejak tiga penggal lalu ditadbir oleh bukan anak negeri Pulau Pinang.

 

(Dan) sepanjang 15 tahun ini, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah berusaha dengan memberi fokus terhadap merealisasikan semua janji Manifesto 2018 yang kini 90 peratus sudah ditunaikan.

 

“Selain itu, hala tuju untuk negeri Pulau Pinang juga jelas melalui Visi Penang2030 yang mana 47 peratus secara purata telah dicapai dan baki akan diteruskan lagi sehingga tahun 2030 nanti.

 

Segala usaha dan komitmen yang dilakukan selama ini adalah untuk melihat Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“(Malah, sejak PH Pulau Pinang mengambil alih pentadbiran negeri), lain-lain negeri di Malaysia ‘pandang’ Pulau Pinang sebagai contoh atas kejayaan (dalam pelbagai aspek),” jelas Ahli Parlimen Batu Kawan itu sekali gus menyangkal dakwaan pemimpin berkaitan bahawa faktor anak negeri mempengaruhi pentadbiran sesebuah negeri.

 

Respons itu juga turut menjawab persoalan wartawan mengenai kenyataan pengerusi sebuah parti politik yang mendakwa bahawa parti tersebut bakal menghampiri jumlah majoriti mudah dengan memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

 

Dalam perkembangan berkaitan, ketika disoal mengenai hubungan PH dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Kon Yeow memaklumkan bahawa segalanya berjalan dengan baik.

 

Seperti dalam ucapan saya sebelum ini, yang mana saya tegasnya bahawa pertikaian dan percanggahan akan wujud apabila beberapa pihak berkepentingan bekerjasama.

 

“(Dan) ia perlu diuruskan dengan baik untuk mencapai satu kesepakatan, permuafakatan dan persefahaman supaya saling memahami falsafah dan tujuan parti-parti yang bergabung ini.

 

“Kita akan menghadapi PRN kali ini bersama-sama BN dalam menghadapi parti-parti lawan lain,” ulasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI