Semua projek dirancang di DUN Sungai Bakap akan diteruskan

Admin
img 20240715 wa0029

KUALA LUMPUR – Semua projek yang dirancang sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan diteruskan meskipun Pakatan Harapan (PH) gagal menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kekalahan dalam PRK Sungai Bakap tidak menjejaskan iltizam Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah setempat, khususnya isu pembekalan air menerusi Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Isu air adalah amat penting dan tidak sepatutnya dimasukkan isu politik atau perkauman sepertimana yang dimainkan oleh sesetengah pemimpin.

“Kalah atau menang PRK Sungai Bakap, projek air perlu diteruskan kerana ia penting bagi kelangsungan masa depan negeri Pulau Pinang sama ada kepada industri atau kehidupan rakyat kebanyakan,” katanya dalam program bual bicara “Naratif Khas” terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini sebentar tadi.

img 20240715 wa0021
Ketua Menteri bersama-sama moderator rancangan bual bicara “Naratif Khas”, Sayed Munawar Sayed Mustar.

Pada 6 Julai lalu, calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam saingan satu lawan satu pada PRK Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi.

Mengulas mengenai punca kegagalan PH merampas kembali kerusi Sungai Bakap, Kon Yeow tidak menafikan bahawa kadar peratusan keluar mengundi yang rendah menjadi antara penyumbang kepada kekalahan tersebut.

“Kadar keluar mengundi dalam kalangan bukan Melayu khususnya kaum Cina berkurangan sehingga 27 peratus, jauh lebih rendah daripada jangkaan awal kita iaitu sekitar 10 peratus.

“Ini menjadikan pengundi bukan Melayu yang keluar membuang undi sangat kurang iaitu di bawah 46 peratus, manakala undi Melayu juga berkurangan tetapi hanya sekitar dua peratus sahaja.

“(Dan) dalam PRK, angka-angka ini adalah penting untuk menentukan pihak yang akan menang atau kalah,” ujarnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan bahawa berlakunya protes undi yang menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun secara signifikan.

Namun kata Kon Yeow, peratus sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan masih utuh iaitu sekitar 85 hingga 90 peratus jika memgambil kira kadar keluar mengundi di bawah paras 46 peratus.

“Ini mungkin protes undi untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pelbagai isu semasa sama ada pada peringkat nasional, negeri mahupun setempat.

“Jadi kita tidak boleh abaikan suara-suara ini, sebaliknya perlu melihat mengapa mereka tidak keluar mengundi, perkara ini penting kerana ia akan mempengaruhi satu-satu kerusi atau pilihan raya umum,” ulasnya lanjut.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa kelemahan Kerajaan Perpaduan dalam menangani perang naratif mengenai isu-isu semasa termasuk isu nasional, negeri dan setempat yang dimainkan pihak lawan turut menyumbang kepada kegagalan tersebut.

“Walaupun kita cuba sedaya upaya tetapi kita tidak dapat memberikan penerangan yang mencukupi bahawa Kerajaan Perpaduan sedang melakukan yang terbaik khususnya pada peringkat nasional oleh pentadbiran Perdana Menteri dan barisan Kabinet.

“Dasar yang tidak popular seperti penyasaran subsidi diesel dan lain-lain yang dimainkan membawa kepada persepsi bahawa kenaikan kos sara hidup akan berlaku,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah meminta Perdana Menteri supaya menangguhkan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel sehingga selesai PKR Sungai Bakap, Kon Yeow menjawab tidak ada.

Malah, beliau tidak membantah pelaksanaan tersebut kerana yakin ia penting dalam membantu negara berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

“Kalau kita lihat penyasaran subsidi diesel diumumkan pada pada 21 Mei, sedangkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Saudara Nor Zamri Latiff meninggal dunia (24 Mei 2024) iaitu tiga hari selepas pengumuman dibuat.

“Walaupun penyasaran subsidi diesel adalah tindakan yang amat tidak popular, namun ia perlu dilaksanakan demi mengawal ketirisan yang berlaku, selain membantu negara berdepan cabaran ekonomi semasa dan masa hadapan.

“Oleh itu, Kerajaan Perpaduan tidak akan melengahkan usaha ini hanya untuk merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap kerana ini untuk masa depan negara,” katanya.

Dalam konteks pembangunan negeri pula, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimem Batu Kawan memberitahu bahawa Pulau Pinang masih relevan sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

“Sektor pelancongan negeri Pulau Pinang telah pulih hampir 100 peratus selepas berlakunya pandemik COVID-19.

“Sekarang kita sedang menghadapi persaingan daripada destinasi-destinasi lain, jadi peranan media sosial dilihat sangat penting sebagai platform dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan menggunakan media sosial dan pempengaruh untuk berkongsi pengalaman mereka yang mana secara tidak langsung dapat mempromosikan destinasi pelancongan di negeri Pulau Pinang.

“Sekarang, di seluruh negeri khususnya bandar raya George Town, kita dapat rasakan kehadiran jumlah pelancong yang meningkat dengan ketara melalui penerbangan langsung lebih dari 10 destinasi dari luar negara.

“Ini membolehkan sektor perhotelan, penginapan dan inap desa dapat menikmati peluang ekonomi yang amat menggalakkan,” ulasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Bukit Bendera turut mencerminkan pertumbuhan positif dengan mencatatkan kunjungan daripada 1.66 juta pengunjung pada tahun 2023 berbanding 1.48 juta pada tahun sebelumnya.

“Malah, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, turut menyaksikan kunjungan daripada 665,994 pengunjung yang mana 40 peratus daripadanya adalah pelancong dari luar negara.

“Dengan pelaburan bernilai RM250 juta bagi pembinaan Kereta Kabel Bukit Bendera ia diharap dapat mengimbangi beban kereta api furnikular dalam menampung peningkatan pelancong ke Bukit Bendera,” ulasnya.

Susulan kerancakan sektor industri dan pelancongan, Kon Yeow berkata bahawa masalah kesesakan lalu lintas menjadi antara cabaran yang perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri kini.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dirangka bagi mengatasi masalah trafik meliputi pembinaan jalan raya serta pelbagai sistem dan perkhidmatan pengangkutan darat serta laut.

“Bulan lalu, Timbalan Menteri kerja Raya mengumumkan bahawa pihak Kementeriannya akan membentangkan kertas kerja berhubung cadangan pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Projek ini amat penting kepada Pulau Pinang kerana lokasi ini adalah titik pertembungan utama yang menyebabkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya sambil menambah bahawa projek sejauh 15 kilometer (km) itu dianggar menelan kos RM1.8 bilion.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dengan jarak jajaran sepanjang 29km yang menghubungkan Seberang Perai ke pulau dan Pulau Silikon dijangka dapat dimulakan pada September atau Oktober ini.

“Tidak ketinggalan juga projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Jujur, sebagai Ketua Menteri, saya amat bersyukur dengan kerjasama daripada pihak Kerajaan Persekutuan yang jelas memberikan perhatian kepada keperluan rakyat Pulau Pinang,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR