SELEPAS setahun, penularan pandemik COVID-19 masih menjadi cabaran utama bukan sahaja dalam aspek kesihatan tetapi juga kesan kepada ekonomi dan pembangunan Negeri Pulau Pinang.
Walaupun impak terhadap sektor ekonomi amat ketara, namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap meneruskan segala usaha bagi memastikan kelangsungan projek-projek pembangunan yang dirancang demi manfaat rakyat terbanyak.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sepanjang satu tahun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah menghentikan usaha untuk menarik pelaburan ke negeri ini meskipun berdepan situasi ekonomi yang mencabar.
“Baru-baru ini diumumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM14.1 bilion bagi tahun 2020 merangkumi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
“Selain menarik pelaburan baharu, kita juga memberikan tumpuan untuk memastikan pelaburan yang diumumkan itu benar-benar menjadi kenyataan iaitu para pelabur membeli tanah, membina kilang dan mengupah tenaga kerja mahir bagi memulakan operasi mereka.
“Jadi, itulah antara yang menjadi fokus kita sepanjang lebih setahun sejak penularan COVID-19 tahun lepas,” katanya kepada Buletin Mutiara.
Pembangunan infrastruktur
Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memberikan tumpuan kepada usaha untuk meneruskan pembangunan infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat di negeri ini.
“Misalnya, projek-projek jalan raya yang kita usahakan sebelum ini seperti Pakej 2 iaitu lebuh raya dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sudah bermula sejak awal tahun ini.
“Pihak konsortium dilantik juga telah meneruskan kerja-kerja teknikal berhubung pakej-pakej jalan raya yang lain.
“Selain itu, projek Gurney Wharf pula dijangka akan dimulakan pada September tahun ini melibatkan pembangunan sebuah taman persisiran pantai baharu untuk dinikmati oleh rakyat,” ulasnya.
Tambah beliau, pemajuan sistem telekomunikasi turut diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyokong proses pendigitalan yang amat penting untuk membawa ekonomi negeri jauh maju ke hadapan.
“Proses membangunkan jaringan telekomunikasi Generasi Kelima atau ‘5G’ juga memerlukan kita menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang sesuai,” katanya.
Dalam menjamin bekalan air bersih kepada rakyat, Kon Yeow menjelaskan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan beberapa projek termasuk saluran paip di bawah dasar laut dari Butterworth ke bahagian pulau.
“Projek Pembesaran Empangan Mengkuang juga sudah diserahkan kepada PBAPP untuk diuruskan, dan yang terbaru kita telah menyiapkan kajian rundingan untuk mencari alternatif sumber air mentah bagi kegunaan sektor industri, komersial dan rakyat jelata.
“Justeru, kita berharap agar kementerian yang bertanggungjawanb dapat meneruskan segala usaha yang dirancangkan supaya sumber air mentah untuk rakyat dapat dijamin,” serunya.
Sebagai sebuah negeri industri yang pesat membangun, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga memberi penekanan terhadap aspek bekalan elektrik.
“Kita baru luluskan satu cadangan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasang kabel dari Seberang Perai ke bahagian pulau sebagai sumber tenaga elektrik baharu bagi menampung keperluan masa hadapan,” ulasnya.
Pembangunan sosial
Bukan sahaja aspek infrastruktur, malah Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga memberikan tumpuan terhadap dasar pembangunan sosial melibatkan aspek kebajikan dan pemerkasaan gender.
“Kita sentiasa melihat kepada kepentingan dasar-dasar sosial dalam memajukan negeri ini untuk memberi perlindungan kepada golongan-golongan memerlukan bantuan.
“Oleh itu, kita berharap agar segala usaha ini dapat melonjakkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju.
“Walaupun impak COVID-19 amat besar tetapi kita masih teruskan usaha-usaha ini dengan memastikan barisan Exco dan wakil rakyat serta agensi-agensi Kerajaan Negeri termasuk anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sentiasa bekerja lebih keras,” katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa cabaran terbesar sejak penularan pandemik COVID-19 adalah untuk memulihkan kembali sektor pelancongan.
“Kita percaya dalam tempoh pandemik ini kita perlu membuat persiapan untuk membantu pemain-pemain industri yang terkesan.
“Justeru, adalah diharapkan agar larangan rentas negeri dapat dikaji semula supaya sekurang-kurangnya sektor pelancongan domestik dapat kembali bernafas,” serunya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa untuk merealisasikan semua pembangunan yang dirancang, Kerajaan Negeri terlebih dahulu perlu memastikan usaha menangani penularan pandemik COVID-19 dapat dijayakan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS