AIR ITAM – Semua 13 sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dilengkapi sekurang-kurangnya satu unit peranti pintar atau ‘smartboard’ dalam memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, kemudahan ‘smartboard’ ini kini merupakan salah satu alat bantuan P&P dalam bilik darjah.
“Suasana kelas pada hari ini, pelajar tidak lagi hanya duduk diam mendengar guru bercakap.
“Sebaliknya, mereka boleh menonton video, menjawab kuiz interaktif, dan memberi maklum balas secara langsung melalui paparan interaktif.
“Guru pula boleh melakar, menulis, dan menyampaikan maklumat secara visual dan interaktif.
“Semua ini menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan efektif, paling penting semua sekolah di KADUN Air Itam sudah dilengkapi ‘smartboard’,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Smart Board Kepada 13 Sekolah KADUN Air Itam di sini pada 21 Januari 2025.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh sebagai tetamu kehormat; ADUN Air Putih, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Wan Sajiri Wan Hassan.
Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut menyalurkan dana berjumlah RM760,000 kepada sekolah-sekolah di Air Itam tahun lalu dan beliau sendiri turut menyumbang RM1,000 kepada setiap sekolah pada pembukaan semester.
“Kali ini, Persatuan Penganut Dewa Lam Kit Sean Ong Tean pula menaja ‘smartboard’ yang bernilai RM221,000,” katanya sambil merakamkan penghargaan.
Dalam pada itu, Kah Woh ketika berucap berkata, kemudahan ‘smartboard’ adalah langkah untuk memacu sekolah ke arah digitalisasi yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Pendidikan digital adalah fokus KPM sekarang, dalam dua tahun ini kita hendak pastikan murid-murid bukan sahaja fasih digital malah mengikut jejak kemajuan teknologi sedia ada.
“Pada bulan 11 tahun lalu, KPM melancarkan dasar pendidikan digital selain daripada fokus kepada infrastruktur, pemantapan tenaga pengajar dan melahirkan anak-anak yang fasih digital.
“Kerajaan Madani juga mencatat sejarah apabila memberikan bantuan awal persekolahan terbanyak iaitu RM791 juta berbanding tahun lalu (RM788 juta) di samping pemberian baucar buku dalam talian bagi mengelakkan ketirisan seperti sebelum ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Taiping.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LEE MIN JUN / JPNPP