Senamrobik MPSP dapat reaksi positif penduduk

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

ANTARA perserta yang hadir mengikuti program senamrobik MPSP di Taman Tugu Demokrasi di sini baru-baru ini.
ANTARA perserta yang hadir mengikuti program senamrobik MPSP di Taman Tugu Demokrasi di sini baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Bagi memenuhi tuntutan betapa pentingnya penjagaan kesihatan, satu cadangan mengenai aktiviti senamrobik telah dikemukakan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, buat julung kali, Taman Tugu Demokrasi yang baru dirasmikan Ketua Menteri telah dipilih sebagai lokasi bagi mempromosikan aktiviti tersebut di samping turut bertujuan menceriakan lagi kawasan berkenaan dan mengelakkan kejadian vandalisma daripada berlaku.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, imej MPSP bertambah baik kerana ia bukan sahaja ‘menyumbangkan’ perkhidmatan perbandaran, malah, turut ‘memberikan’ perkhidmatan kesihatan kepada warga kerja dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, aktiviti senamrobik pertama yang dianjurkan baru-baru ini mendapat sambutan yang sangat
menggalakkan daripada orang ramai. Ini kerana, terdapat lebih daripada 200 peserta hadir berbanding 100 orang yang disasarkan.

Pada hari tersebut, orang ramai turut berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma. Malah, kaunter bergerak MPSP turut disediakan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai berurusan dengan pihak berkenaan di lokasi.

Sebagai tambahan, Lip Chee turut mengalu-alukan badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan, para pelajar serta warga kilang untuk turut hadir beramai – ramai memeriahkan aktiviti yang diadakan.

Antara yang turut hadir ialah Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud dan Ahli-ahli Majlis MPSP.