Senamrobik MPSP promosi gaya hidup sihat

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SIHAT… Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terus giat mempromosi gaya hidup sihat dengan menganjurkan senamrobik peringkat Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif ketika ditemui dalam program di Taman Tugu Demokrasi dekat Butterworth berkata, aktiviti ini dijalankan sejajar dengan laungan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat.

“Menyedari pentingnya menjaga kesihatan, MPSP dengan kerjasama My Shape Fitness Centre berusaha merangka satu aktiviti yang boleh dijalankan bersama rakyat Seberang Perai pada hujung minggu.

“Dengan adanya aktiviti senamrobik ini, diharapkan penduduk Seberang Perai dapat meluangkan masa untuk beriadah di samping mengeratkan silaturahim bersama komuniti,” katanya di sini.

Setiausaha Majlis bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan dua orang ahli majlis MPSP, Tan Chee Teong dan Phee Boon Chee turut serta dalam program itu.

Selain di SPS, MPSP turut menganjurkan aktiviti senamrobik dengan warga setempat di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).