SIHAT… Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif menyertai aktiviti senamrobik di Taman Tunku di sini baru-baru ini bagi merealisasikan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat di Seberang Jaya.
Aktiviti sihat yang diadakan secara berkala pada hujung minggu di setiap tiga daerah Seberang Perai itu bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti hidup sihat kepada penduduk Seberang Perai.
Maimunah ketika ditemui di sini baru-baru ini berkata, aktiviti senamrobik ini merupakan satu platform yang terbaik untuk MPSP meluangkan masa bersama penduduk setempat.
“Saya sendiri sangat bersemangat apabila tiba hujung minggu untuk bersama- sama dengan tuan-tuan dan puan-puan untuk menjalankan aktiviti sihat ini.
“Dengan adanya aktiviti ini, diharapkan penduduk Seberang Perai dapat meluangkan masa pada setiap hujung minggu untuk beriadah sambil menjaga kesihatan dengan MPSP,” katanya.
Turut diadakan adalah pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran informasi MPSP. Aktiviti yang dijalankan baru-baru ini adalah hasil kerjasama antara MPSP dan kumpulan senamrobik, Aero Permatang Pauh.