Senarai barangan dikenakan SST masih tertakluk kepada pindaan – Guan Eng

Admin

PERAI – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, senarai barangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dipaparkan di laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) kini masih dalam kajian untuk dibuat pindaan.

“Senarai penuh telah dimuat naik, tapi sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, kita mesti melakukan yang sewajarnya, sebab itu kita akan buat pindaan dan akan diputuskan pada penghujung tahun.

“Kita (Kerajaan) perlu laksanakan SST pada 1 September dan tidak boleh ditangguh lagi untuk mengelakkan kewangan negara menjadi defisit,” katanya semasa sidang media selepas sesi taklimat pelaksanaan SST di Hotel Ixora di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut memaklumkan bahawa semua restoran nasi kandar yang mempunyai nilai ambang melebihi RM1.5 juta adalah perlu mengutip cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

“Tetapi, bagi restoran yang jualan setahunnya tidak melebihi RM1.5 juta adalah tidak dikenakan SST kerana restoran ini sedang membangun, dan sebaik sahaja mereka mencapai jualan melebihi RM1.5 juta, mereka juga perlu mengutip cukai 6 peratus.

“Jika ada restoran yang mengenakan caj perkhidmatan itu, ia adalah fi perkhidmatan untuk dibayar kepada pelayan-pelayan mereka, bukannya cukai.

“Jadi, kita berharap agar rakyat tidak menyalahkan pemilik restoran kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai peniaga bertanggungjawab iaitu mematuhi undang-undang,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, bagi pembelian aksesori dan alat kelengkapan kenderaan termasuk tayar ‘celup’ juga akan dikenakan SST pada masa ini, namun perkara itu juga akan dikaji semula.

“Begitu juga dengan semua jenis makanan laut yang diimport seperti abalon juga dikenakan SST kerana ia dikategorikan dalam kumpulan sama.

“Kita juga akan buat pindaan berkaitan perkara itu, dan selepas kajian, dan mungkin ada barangan yang akan dikeluarkan daripada senarai SST,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Kerajaan juga telah mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi agar mengecualikan cukai terhadap perkhidmatan kad prabayar.

“Untuk kad prabayar, jika pengguna beli RM10, mereka tetap akan dapat nilai RM10.

“Caj 6 peratus tidak akan dibayar oleh pembeli, dan apa yang berlaku adalah akibat masalah teknikal.

“Kita (Kerajaan) akan minta supaya syarikat telco (telekomunikasi) mengkreditkan semula caj itu kepada pengguna,” katanya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF