Senarai Nilaian disemak selepas 15 tahun, pertambahan hasil cukai akan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat kerajaan MMK) Bilangan 22/2019 bertarikh 19 Julai 2019 telah meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menyemak semula Senarai Nilaian sedia ada berasaskan kepada Nilai Tahunan 15 tahun yang lalu.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, Senarai Nilaian sedia ada yang diterima pakai adalah 1 Januari 2005 (MBPP) dan 1 Julai 2005 (MPSP) telah diguna pakai selama 15 tahun dan akan tamat tempoh pada 31 Disember 2019.

Katanya, proses penilaian semula bagi Senarai Nilaian Baru 2020 adalah satu keperluan di bawah peruntukan Seksyen 137 (3) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Di bawah Seksyen 137(3), Akta Kerajaan Tempatan 1976, MBPP dan MPSP dikehendaki menyedia dan menyiapkan sesuatu Senarai Nilaian baru sekali tiap-tiap lima tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana ditentukan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Merujuk kepada Seksyen 137(3), Akta Kerajaan Tempatan 1976 juga, MBPP dan MPSP dikehendaki menyedia dan dan menyiapkan suatu Senarai Nilaian baru apabila tempoh sahlaku Senarai Nilaian semasa luput pada 31 Disember 2019 kecuali tempoh sahlakunya dilanjutkan oleh PBN.

“Melalui Senarai Nilaian baru tersebut, pertambahan hasil cukai baru ini akan digunakan oleh kedua-dua PBT di mana ia akan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang melalui pembangunan bandar, kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan jaringan jalan raya, penambahbaikan kemudahan awam dan banyak lagi,” ujar Jagdeep dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Yang diPertua bagi MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPSP, Mat Nasir Hassan.

Bercakap mengenai status kewangan kedua-dua PBT, Jagdeep menjelaskan, MBPP dan MPSP telah menanggung peningkatan kos perbelanjaan bagi pengurusan keseluruhan sebanyak RM196.391 juta (MBPP) atau 291 peratus, RM107 juta (MPSP) atau 784 peratus kenaikan  berbanding tahun 2005.

Tambahnya, dengan mengambil kira unjuran perbelanjaan MBPP/MPSP yang meningkat setiap tahun serta beban kewangan yang perlu ditanggung, maka dua PBT terbabit perlu meningkatkan pendapatan dan hasil cukai taksiran.

“Berdasarkan kepada kajian penilaian semula yang telah dijalankan, Senarai Nilaian Baru 2020 dijangka akan dapat meningkatkan pendapatan Majlis bagi hasil cukai sebanyak RM54,338,822 bagi MBPP dan RM39,743,077.02 bagi MPSP tahun hadapan namun ianya masih belum cukup.

“Untuk perbandingan kadar cukai taksiran dengan negeri-negeri lain masih menunjukkan kadar cukai yang dicadangkan oleh kedua-dua PBT di Pulau Pinang masih berada di tahap yang lebih rendah berbanding dengan PBT lain yang setaraf dengannya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Mengulas mengenai projek-projek yang sudah, sedang dan akan dijalankan oleh MBPP dari tahun 2015 hingga 2022, Jagdeep memaklumkan, kos keseluruhan menelan belanja RM769,796 juta bagi MBPP.

Manakala bagi MPSP dari tahun 2015 hingga tahun 2020 pula, melibatkan 206 projek dan program yang menelan belanja sebanyak RM219.95 juta.

Antara projek-projek yang dijalankan serta dijadualkan termasuklah rancangan tebatan banjir, pembangunan infrastruktur, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pembinaan jalan raya, pengurusan sisa pepejal, naik taraf kemudahan awam, naik taraf sistem perparitan, penggantian lampu jalan kepada jenis Light Emitting Diode (LED) dan lain-lain lagi.

Pembayar cukai dalam pada itu boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenaii Cukai Taksiran di Paras 12, KOMTAR (MBPP) dan Tingkat 10, Menara MPSP di Bandar Perda (MPSP).

“Namun demikian, setiap pemilik yang tidak berpuas hati dengan Senarai Nilaian Baru 2020 mempunyai hak untuk membuat bantahan seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 42, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan membuat bantahan secara bertulis kepada PBT pada atau sebelum 14 Oktober 2019,” jelas Jagdeep lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN