Senaraihitamkan ‘kontraktor samseng’ – Exco Perumahan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pemaju yang dikesan bekerjasama dengan  ‘kontraktor samseng’ demi menakut-nakutkan pembeli terlibat dalam pengubahsuaian rumah sebelum diduduki akan disenaraihitamkan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai aduan beberapa pembeli pangsapuri baru tertentu yang mengaku diugut supaya tidak melibatkan diri dengan kerja-kerja pengubahsuaian kediaman masing-masing.

“Pemilik rumah-rumah terbabit bimbang keselamatan mereka kerana mereka telah terancam.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan sikap ini,” tegasnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Sebagai langkah pencegahan, katanya, Kerajaan Negeri mengatur pertemuan dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk membanteras gangsterisme, terutama yang membabitkan projek pangsapuri.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, kes seumpama itu sebenarnya dikesan berlaku sejak beberapa tahun lepas lagi.

Dalam beberapa kes aduan diterima, tambah beliau, pembeli pangsapuri akan dipaksa mendapatkan perkhidmatan pengubahsuaian rumah daripada kontraktor tertentu sahaja, walhal amalan itu adalah berunsur jenayah ke atas mereka yang terbabit.

Justeru, tegas Jagdeep, polis diharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk bertindak ke atas pemaju yang dikesan bekerjasama dengan ‘kontraktor samseng’ berkenaan.