Senaraikan pengurusan strata sebagai perkhidmatan asas, gesa Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memasukkan kategori pengurusan premis kediaman berstrata sebagai perkhidmatan asas.

 

 

Jelasnya, pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) Mac tahun lalu MITI sudah berbuat demikian melalui sepucuk surat bertarikh 6 April 2020, tetapi tahun ini MITI belum pun mengiktiraf pengurusan hartanah dan strata (property and strata management) sebagai perkhidmatan perlu (essential services).

 

 

“Ada perbezaan antara terma daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan MITI…ada berlaku kekeliruan.

 

 

“Cuma kita (Kerajaan Negeri) bimbang sekiranya ada pihak yang kena saman sebab tidak ikut SOP (prosedur operasi standard).

 

 

“Saya juga terima surat daripada Institut Pengurusan Harta dan Fasiliti Malaysia yang menyatakan adalah perlu kategori tersebut diiktiraf sebagai perkhidmatan asas dan saya harap Kerajaan Pusat dapat menelitinya kerana ia penting untuk menguruskan hartanah dan strata,” ujarnya dalam sidang media di Komtar pagi ini.

 

 

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa melalui kebenaran tersebut pihak berkaitan dapat memastikan perkhidmatan seperti bekalan air, elektrik, pembersihan dan pengurusan sisa pepejal, keselamatan, telekomunikasi, pembentungan serta penyelenggaraan mekanikal seperti lif tidak tergendala sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO).

 

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menyambut baik pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat semalam termasuk melanjutkan Home Ownership Campaign (HOC) hingga hujung tahun ini.

 

 

“Selaku Exco Perumahan, terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Pusat kerana melanjutkan HOC hingga hujung tahun ini daripada tarikh sepatutnya iaitu hujung bulan ini.

 

 

“Kita di Pulau Pinang sudah beri cadangan supaya kempen ini dilanjutkan hingga Jun 2022 untuk membantu pembeli kali pertama memiliki rumah sekaligus membantu pemaju menjual perumahan mampu milik (kepada rakyat),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

Difahamkan melalui kempen tersebut pelbagai faedah boleh dinikmati oleh pembeli dalam memudahkan pemilikan rumah.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN