Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Koleksi hasil seni kaca Chang Yi, Father of the Asia Studio Glass Movement, yang sebelum ini ditempatkan di 16 buah muzium seluruh dunia kini berada di Pulau Pinang bersempena sambutan Festival George Town 2013.
Antara koleksi menarik dipamerkan adalah Imminent Spring Dance, Parrot Tulip, A Smile for Serenity, One Hundred Years, A Liuli Flower Blooms dan A Realm of Zen within Fire- Moth Orchid.
Sebelum ini, koleksi-koleksi tersebut pernah dipamerkan di The Palace Museum, Beijing, China; Yakushiji Temple, Nara, Jepun; National Museum of Women in the Arts, Washington D.C, Amerika Syarikat dan Victoria & Albert Museum, London, United Kingdom.
Turut berkongsi pentas pameran ialah artis kelahiran Perancis, Marie Dargent yang mempamerkan hasil karya terbaru‘A Town Called George’ bersama suaminya, John Brunton, seorang jurugambar. Marie yang pernah tinggal di Malaysia pada tahun 1982 hingga 1985 mempamerkan karya terbaru litografi yang menggabungkan fotografi dan seni cut-out.
Antara hasil karya yang mencuri tumpuan ialah Lorong Stewart, Peking Hotel, George Town World Heritage, Kapitan Keling Mosque dan Cheong Fatt Tze Mansion.
Selain pameran seni kaca, kristal dan litografi, turut dipamerkan adalah seni tenunan dan stensil emas ‘Memories of Gold’ oleh Tiao Nithakhong Somsanith, artis yang berasal dari Laos.
Umumnya, pameran Legend of Contemporary Liuli Art yang diadakan merupakan pameran seni kaca pengasas Luiligongfang terbesar di Malaysia.