Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI
PEMASYHURAN Ar. Yew Tung Seang sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah dijangka banyak pihak kerana bekas Setiausaha Bandaraya tersebut memang dikenali sebagai individu yang mempunyai pengalaman luas.
Tung Seang menggantikan Dato’ Maimunah Mohd. Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat di Nairobi, Kenya bermula pada 20 Januari 2018. Pelantikan Tung Seang berkuatkuasa 20 Januari, dan acara istiadat mengangkat sumpah penerimaan jawatan tersebut dilangsungkan pada 22 Januari 2018.
“Saya menerima pengumumkan pelantikan jawatan ini dengan perasaan penuh rendah diri,” merupakan ucapan Tung Seang dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.
Semasa itu, barisan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut menyaksikan pemasyhuran nama Tung Seang, serta Pengarah Kejuruteraan MBPP Ir. Addnan Mohd. Razali diumumkan sebagai Setiausaha Bandaraya baru.
‘Dalam wawancara tersebut, Tung Seang memberitahu bahawa beliau mula bekerja sebagai jurutera kontrak di MBPP pada tarikh 1 Mac 1991.
Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya MBPP pada 30 Jun 2017, beliau pernah menjadi Jurutera Kanan, Ketua Jurutera, Pengarah Kawalan Bangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Di MBPP, Tung Seang dikenali sebagai orang yang gemar bersukan, tidak kira acara kayuhan basikal atau mendaki bukit.
“Selalunya, saya akan membawa rakan-rakan sejawat MBPP untuk sama-sama berbasikal, mendaki bukit.
“Ini, merupakan sukan yang boleh dilakukan secara berpasukan.
“Justeru, dengan penglibatan kakitangan-kakitangan kita (MBPP), selepas waktu pejabat, kita akan melupakan segala jawatan dan pangkat, kita boleh semarakkan semangat kekitaan,” jelasnya.
Baginya, MBPP sudah berada pada satu kedudukan yang begitu tinggi berbanding PBT lain.
Maka, Tung Seang berkata beliau senantiasa akan cuba mencabar dirinya bagi melakukan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan Pihak Berkuasa Negeri.
“Cabaran yang akan datang sebenarnya adalah ekspektasi penduduk yang inginkan Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan bertaraf antarabangsa.
“Cuma bertuahnya, saya ini datang dari MBPP sejak 1991, jadi semangat berpasukan itu telah ada untuk kita bergerak maju ke depan,” jelasnya.
Impian
Dalam pada itu, Tung Seang turut berkongsi impian keemasannya, selepas dimasyhurkan sebagai Datuk Bandar MBPP baru.
“Impian keemasan saya adalah memajukan lagi MBPP ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, mesti juga berdaya tahan dan mampan.
“Ramai orang berkata Smart City, apa sebenarnya bandar raya pintar?
“Sejak tahun lepas, telah kami rangkakan pelan bandar pintar (Fokus MBPP 2018).
“Kalau boleh, tidak perlulah sebut bangsa Cina atau Melayu. Bagi saya, saya tidak pernah kira kaum.
“Saya berasal dari kampung sebenarnya, di keliling rumah saya, satu keluarga Cina pun tak ada. Semua Melayu di kampung saya dekat Padang Serai, Perak.
“Selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, saya bekerja sekejap di syarikat swasta dan selepas itu bekerja sebagai jurutera kontrak di MBPP, selepas dua tahun baru sebagai jurutera tetap.
Harapan
Akhir wawancara eksklusif itu, Tung Seang turut menzahirkan beberapa harapan kepada ‘pasukan’ MBPP dan penduduk Pulau Pinang secara umumnya.
“Kita (MBPP) perlukan satu pasukan yang kuat dan pintar, kita kena buat satu hubungan dua hala yang lebih kukuh secara dalaman (MBPP) dan luaran.
“Harapan saya bahawa kita boleh membantu Kerajaan Negeri dalam pelbagai perkara.
“Antaranya, dalam pembinaan bakat, jadi fokus saya pada muda-mudi dan pelajar sekolah, sebagai harapan negeri.
“Apa yang lebih penting bagi saya adalah bakat, dan Pulau Pinang boleh menjadi lebih baik pun salah satu sebabnya adalah bakat di negeri ini,” ujar beliau.