Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Sepak Takraw diperkenalkan sebagai acara baru dalam temasya Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Se-Malaysia Ke-5 yang berlangsung di Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dalam ucapannya berharap langkah itu akan memartabat lagi mutu persembahan sukan sepak takraw tanah air, terutama di peringkat antarabangsa.
“Jika kita lihat pencapaian negara kita hari ini dalam sukan sepak takraw sedikit mengecewakan bahkan kini, kita (Malaysia) bukan lagi menjadi satu kuasa besar dalam sukan ini.
“Sehinggakan Korea Selatan yang dahulunya tidak pandai bermain sepak takraw sudah mampu mengalahkan pasukan negara.
“Diharap sumbangan kecil seperti ini sedikit sebanyak mampu memupuk minat generasi sekarang dalam mempertahankan sepak takraw,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan) serta timbalan-timbalan SUK negeri bertanding lain turut menyertai majlis perasmian tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya turut memberitahu bahawa kredibiliti Pulau Pinang sebagai penganjur sukan tidak pernah dipertikai susulan pelbagai acara bertaraf antarabangsa telahpun berlangsung di negeri ni sebelum ini.
Menurutnya, Kejohanan Angkat Berat Komanwel (2009), 25th Chinese Basketball Invitational Tournament (2009), 3- Nation Charity Ride (2009), IWF International Club Grand Prix & Junior Commonwealth Championship (2010), Asian Individual Squash Championship (2011), 37th Man and 17th Women World Junior Weightlifting Championship, Commonwealth Senior, Junior & Youth and World Master Cup Weightlifting Championship 2013 (2013), dan terbaru, World Woman Squash Championship 2013 (2013) merupakan antara kejohanan peringkat antarabangsa yang pernah dilangsungkan di negeri ini.
“Usaha untuk membangunkan bidang sukan di Pulau Pinang telah dibuktikan dengan negeri ini diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur kejohanan sukan bertaraf antarabangsa,” ujar beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mengalu-alukan 1,300 atlet yang menyertai kejohanan berkaitan untuk menikmati pelbagai makanan enak serta melancong ke kawasan-kawasan menarik di negeri ini.
Sukan SUK diadakan secara dwi tahunan sejak 2004 susulan cadangan Kerajaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang yang sepatutnya menjadi tuan rumah pada tahun 2008 dipilih sebagai penganjur pada tahun ini.
Selain Sepak Takraw yang baru diperkenalkan, acara lain yang turut dipertandingkan adalah badminton, bola sepak, ping pong, bola jaring, golf dan boling.