Seramai 1,117 individu terima darjah kebesaran Pulau Pinang tahun ini

GEORGE TOWN – Seramai 1,117 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed; mantan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dato’ Sri Tun Abd. Majid Dato’ Tun Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Indera Ir. Baharin Din mendahului senarai penerima pada tahun ini.

Ketiga-tiga mereka merupakan penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Selain itu, seramai 27 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri antaranya mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sayuthi Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican; mantan Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; mantan Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; mantan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng serta mantan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Sri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Dato’ Brian Tan Guan Hooi; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; mantan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Salleh Man; Naib Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, Dato’ S. Parthiban dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Zabidah Safar antara 15 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) yang membawa gelaran Dato’.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang juga ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; mantan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan yang juga mantan ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; mantan ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee; mantan Exco Belia dan Sukan yang juga mantan ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee dan mantan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga mantan ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin pula merupakan antara 93 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Selain itu, seramai 74 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (14); Pingat Kelakuan Terpuji (168); Pingat Jasa Kebaktian (298); Pingat Jasa Masyarakat (399) dan Pingat Bakti Setia (26).

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang memaklumkan bahawa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 14 Oktober 2023.

“Acara sambutan akan dimulakan dengan istiadat kawalan kehormat di Dataran Sri Pinang seterusnya istiadat penganugerahan di Dewan Istiadat dekat Dewan Sri Pinang.

“Pada hari pertama (14 Oktober) seramai 213 orang penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan menerima anugerah masing-masing disusuli hari kedua (16 Oktober) seramai 310 penerima; hari ketiga (17 Oktober) melibatkan seramai 302 orang manakala hari keempat (18 Oktober) seramai 292 orang penerima.

“Secara keseluruhan bagi tahun 2022, TYT Tun berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri kepada 1,117 individu,” ujarnya pada sidang media dekat Dewan Sri Pinang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa.

Menurut Choo Kiang, selain istiadat penganugerahan berkaitan, Majlis Jamuan Teh Peringkat Negeri turut akan diadakan dengan kehadiran Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor serta pembesar-pembesar negeri.

“Manakala Majlis Makan Malam pula akan diadakan pada 17 Oktober 2023 dekat Pusat Konvensyen SPICE,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING