BAGAN JERMAL – Seramai 15 orang pemohon menerima surat tawaran untuk menduduki dan Skim Sewa Beli (RTO) di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ada di negeri ini.
Surat tawaran tersebut disampaikan oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo sempena program ‘Roadshow’ Pendaftaran Rumah Mampu Milik dan Majlis Serahan Surat Tawaran Skim Hope dekat PPR Taman Bagan di sini pada 28 Oktober lalu.
Semasa berucap, Sundarajoo berkata bahawa ‘roadshow’ tersebut merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan di negeri ini.
“Inisiatif ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memudahkan penduduk Pulau Pinang mendaftar dan mengemas kini permohonan mereka untuk membeli rumah mampu milik (RRM) yang dibangunkan di negeri ini.
“Sebelum ini, seramai 47,000 telah mendaftar untuk membeli RMM tetapi yang tampil hanya 7,000 orang sahaja,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ng Yee Siang; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Bin Ibnu Omar serta Pengerusi PPR Taman Bagan, Mohd. Nordin Saad.
Difahamkan, daripada jumlah itu seramai 12 orang menerima surat Skim Sewa Beli bagi RMM (Kategori A) Mekarsari, Bertam manakala tiga orang lagi diberi tawaran menduduki PPR.
Sundarajoo yang juga ADUN Perai berkata, dalam usaha meningkatkan pemilikan RMM dalam kalangan rakyat di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah memperkenalkan sistem baharu yang dikenali sebagai ‘Housing Outcome Performance Committee’ (HOPE).
“Kerajaan Negeri juga akan mengeluarkan satu lagi produk perumahan yang baharu iaitu rumah mampu milik berharga RM100,000 yang akan ditawarkan kepada pemohon yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR