Seramai 15,000 ketua isi rumah berjaya dikeluarkan dari kelompok miskin tegar, kata Timbalan Menteri

Admin
002465f0 64cd 4aac a3e4 8caf781a825f LIM Hui Ying (tengah) diiringi Teh Lai Heng (berbaju merah) menyampaikan cek replika kepada jawatankuasa Masjid Jamek Prangin di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan hari ini berjaya membawa keluar kira-kira 15,000 orang ketua isi rumah di negara ini daripada kelompok miskin tegar sepanjang tahun 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kejayaan tersebut adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai skim insentif termasuk Program Pembasminan Miskin Tegar yang melibatkan peruntukan berjumlah RM130 bilion.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2025 Persekutuan yang dibentangkan baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM13 bilion dengan meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) demi membantu kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

470b467a b250 4280 b72c f56d80307c03
LIM Hui Ying menyantuni salah seorang penarik beca dalam majlis berkaitan di sini pada pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian sebelum menyampaikan sumbangan pek bantuan makanan bernilai RM3,000 kepada 50 penerima terpilih dalam kalangan penarik beca dan asnaf sekitar Masjid Jamek Prangin di sini pada 28 Disember 2024.

“(Majlis penyampaian sumbangan kepada penarik beca dan asnaf Masjid Jamek Prangin) juga menjadi simbol keprihatinan dan usaha bersama dalam memperkukuh semangat komuniti,” jelasnya menerusi kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying turut memberitahu bahawa pihaknya pada tahun lepas menyalurkan sebanyak RM50,400 kepada Masjid Jamek Perangin termasuk RM18,000 untuk pembelian tiga unit penyaman udara dan projek penyelenggaraan masjid (RM32,400).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng turut sertai majlis sumbangan bantuan tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB