Seramai 200 kanak-kanak diselamatkan dalam Ops Global diberi perlindungan

Admin
img 20241126 wa0022

GEORGE TOWN – Seramai 200 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini telah ditempatkan di rumah-rumah perlindungan.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, kanak-kanak terbabit kini diletakkan bawah pemantauan dan jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga siasatan selesai sebelum diserahkan semula kepada keluarga atau penjaga yang layak.

“Kesemua kanak-kanak ini telah ditempatkan di lokasi perlindungan yang selamat dan menjalani pelbagai aktiviti serta program bagi memastikan pemulihan dan kebajikan mereka terjamin sepanjang tempoh jagaan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri melalui JKM dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan hak kanak-kanak sentiasa terpelihara di rumah-rumah perlindungan, sama ada milik kerajaan mahupun swasta,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Pada September lalu, polis melaksanakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GlSBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Susulan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Justeru, bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH, Kerajaan Negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim berkata selaras dengan visi Penang2030, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa tadbir urus pengoperasian Pusat Jagaan Kanak-kanak hendaklah sentiasa memberi keutamaan kepada perlindungan dan kebajikan mereka yang mendapatkan perkhidmatan jagaan yang selamat.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan membuat pemeriksaan berkala terhadap premis pusat jagaan yang menempatkan kanak-kanak dan juga pemeriksaan ke atas pihak pengurusan.

“PBT mengenal pasti sama ada perniagaan atau aktiviti yang dijalankan oleh pengusaha pusat jagaan kanak-kanak mematuhi peraturaran undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan undang-undang diambil jika pengusaha pusat jagaan ingkar dan tidak patuh kepada panduan pengoperasian yang dikuatkuasakan oleh negeri,” tegasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS