Seramai 250 penerima masyarakat India dalam Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor terima sumbangan hamper

Admin
img 20241025 wa0036

BERTAM – Seramai 250 orang penerima dalam kalangan masyarakat India di kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor menerima sumbangan hamper sempena sambutan perayaan Hari Deepavali pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 200 hamper disumbangkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow manakala 50 lagi hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata kerjasama yang erat dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah membolehkan lebih ramai penduduk di negeri ini menerima pelbagai manfaat.

img 20241025 wa0044img 20241025 wa0054img 20241025 wa0046img 20241025 wa0042img 20241025 wa0038

“Sebagai makluman, Majlis Rumah Terbuka Deepavali mula dianjurkan pada tahun 2008 oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar Parlimen Kepala Batas dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.

“Pada tahun 2015, Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri mula ditubuhkan dan program menyampaikan sumbangan hamper mula dianjurkan dengan agihan sebanyak 50 unit sahaja, dan kemudiannya semakin bertambah pada setiap tahun.

“Atas semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan, sumbangan hamper berjaya ditingkatkan kepada 250 unit pada tahun ini.

“Namun, kita berharap agar jumlah ini dapat ditingkatkan lagi pada tahun-tahun berikutnya supaya lebih ramai masyarakat memerlukan terutamanya di kawasan luar bandar dapat dibantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali dekat Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di sini semalam.

Selain Reezal Merican, hadir sama ialah ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi serta barisan MPKK sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Hock Peng berkata, Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor wajar dijadikan sebagai contoh terbaik bagi kerjasama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, kita berharap agar lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini dimenangi oleh wakil Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat dibantu.

“Oleh itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Bertam serta barisan MPKK yang telah bekerjasama bagi menjayakan program pada malam ini,” ujarnya.

Sementara itu, Reezal Merican menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri kerana secara konsisten meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan hamper kepada kaum India sempena perayaan Deepavali sejak lebih 10 tahun lalu.

“Walaupun program ini merupakan acara tahunan, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia menjadi lebih meriah kerana adanya gandingan daripada wakil rakyat Kerajaan Perpaduan.

“Hari ini kita bergabung bersama-sama untuk memastikan kaum India dalam kawasan Parlimen Kepala Batas mendapat pembelaan dan yang paling penting adalah tidak ada individu yang tertinggal semasa meraikan perayaan ini,” ujarnya.

Reezal Merican berkata, selain 250 hamper yang disampaikan pada malam ini, sebanyak 350 hamper lagi akan diagihkan kepada masyarakat India dalam Parlimen Kepala Batas pada 27 Oktober (Ahad) ini.

“Boleh dikatakan kira-kira 600 penerima akan menerima manfaat hasil gandingan mantap Kerajaan Perpaduan pada tahun ini,” katanya.

Selain menjamu pelbagai hidangan yang lazat, Pejabat Penyelaras Khas Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan berupa tong sampah kepada pihak Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Kepala Batas serta sebuah kerusi roda kepada penerima, S. Pakkiam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS