Seramai 300 pelajar memerlukan terima bantuan persekolahan KASIH Malaysia, PWM

img 7838

GEORGE TOWN – Pertubuhan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan (KASIH Malaysia) dengan kerjasama Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) menganjurkan Program Kembali Ke Sekolah 2025 Bersama Anak-anak Pulau Pinang bagi membantu pelajar yang memerlukan di negeri.

Dalam program tersebut, seramai 300 pelajar sekolah rendah yang terdiri daripada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan menerima bantuan peralatan persekolahan berupa beg sekolah, alat tulis serta wang tunai.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi KASIH Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara, Puan Tan Lean Kee dalam program yang berlangsung dekat Komtar di sini pagi tadi.

whatsapp image 2025 01 18 at 21.26.57
Dr. Wan Azizah bersama-sama Puan Tan Lean Kee bergambar kenang-kenangan dengan ahli jawatankuasa KASIH Malaysia dan PWM sempena Majlis Ramah Mesra Kasih Malaysia dan PWM serta Program Kembali Ke Sekolah Bersama-sama Anak-anak Pulau Pinang 

img 7840whatsapp image 2025 01 18 at 21.26.59whatsapp image 2025 01 18 at 21.26.58 (1)

Semasa berucap, Lean Kee berkata bahawa bantuan yang diberikan adalah sebagai tanda keprihatinan Pertubuhan Mutiara dan Kasih Malaysia terhadap masa depan generasi muda khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, pendidikan berkualiti merupakan tunjang pembangunan negara dan kunci kepada peningkatan taraf hidup rakyat sekali gus membawa mereka keluar daripada kemiskinan.

“Menyedari kemajuan dan peningkatan taraf hidup rakyat di sesebuah negara bermula dengan pendidikan, kami mengambil inisiatif menganjurkan program bantuan persekolahan dan sumbangan bagi para pelajar yang memerlukan.

“Program ini sekali gus dapat meringankan beban kewangan ibu bapa untuk membuat persiapan bagi tahun persekolahan yang akan bermula pada Februari depan,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah memberitahu bahawa Kasih Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2018 memfokuskan kepada tiga bidang iaitu kesihatan mental, buli siber dan pendidikan.

“Memandangkan sesi persekolahan yang baru bagi tahun 2025 akan bermula pada bulan hadapan, KASIH Malaysia dengan kerjasama PWM menganjurkan aktiviti Kembali ke Sekolah dan memilih Pulau Pinang sebagai negeri pertama bagi penganjuran aktiviti di luar  kawasan Lembah Klang.

“Harapan kami adalah supaya bantuan ini bakal meringankan beban  kewangan ibu bapa atau rumah jagaan dalam menyediakan keperluan barangan sekolah anak jagaan  masing-masing,” katanya.

Wan Azizah berkata, selain bantuan persekolahan, rata-rata pelajar yang menerima bantuan tersebut adalah berumur antara 6 hingga 12 tahun turut memerlukan perhatian, bimbingan dan didikan.

“Mereka memerlukan sokongan yang bukan sahaja berbentuk material tetapi sokongan yang boleh membantu mencorak peribadi yang unggul, sikap yang mulia, dan asa cinta kepada ilmu.

“Oleh yang demikian, antara barangan sumbangan KASIH Malaysia dan PWM bagi program ini adalah merupakan buku-buku cerita Madani terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertujuan membentuk masyarakat Madani yang berakhlak mulia.

“Tidak dinafikan anak-anak terutamanya peringkat rendah perlu menguasai 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira, namun pada masa yang sama, kaedah yang digunakan seharusnya tidak ‘membunuh’ keseronokan dalam menimba ilmu,” ujarnya.

Pada kesempatan sama, Wan Azizah turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak sepanjang musim persekolahan yang bermula 18 Januari sehingga 16 Februari depan.

“Ibu bapa dan penjaga, pastikan ada pemantauan serta luangkanlah masa untuk bermesra atau beriadah bersama anak-anak anda walau sesibuk mana pun kita,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LEE MIN JUN