PERMATANG PAUH – Seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dari 10 buah sekolah terpilih di negeri ini menerima sumbangan pembukaan akaun simpanan SSPN Prime.
Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sempena Program Galakan Menabung Simpan SSPN yang berlangsung di Sekolah Rendah (SK) Permatang To’ Kandu dekat sini sebentar tadi.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketika berucap, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata pelaksanaan program tersebut adalah bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar di samping menggalakkan amalan menabung.
“Sebelum ini, Yayasan Amal TYT Pulau Pinang memperkenalkan Program Galakan Menabung yang dianjurkan bersama dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji.
“Program ini memberi manfaat kepada anak-anak khariah daripada kumpulan B40 untuk membuka akaun simpanan Tabung Haji.
“Yayasan Amal TYT menyasarkan sekurang-kurangnya 100 akaun baru dibuka setiap kali TYT Tun (Ahmad Fuzi Abdul Razak) turun padang untuk menunaikan sembahyang Jumaat bersama-sama rakyat.
“Pada hari ini, program tersebut telah diperluaskan kepada pelajar daripada keluarga B40 untuk menabung melalui pembukaan akaun SSPN Prime,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat.
Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Said Hussain; Pengarah PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; Ketua Polis Daerah SPT, ACP Helmi Aris dan Guru Besar SK Permatang To’ Kandu, Salizawati Omar juga hadir.
Di samping itu, Rozali memberitahu bahawa Yayasan Amal TYT Pulau Pinang turut memberikan tumpuan terhadap aspek kesihatan rakyat.
“Justeru, Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan membiayai sepenuhnya kos bagi operasi pembedahan mata salah seorang guru dari sekolah ini (SK To’ Kandu) yang menderita masalah penglihatan disebabkan katarak.
“Sebelum ini, pihak yayasan (Yayasan TYT Pulau Pinang) juga telah membiayai kos bagi pesakit yang menjalani prosedur angioplasti dan kemoterapi di hospital-hospital swasta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata setiap murid yang terpilih akan menerima RM100 bagi membuka akaun Simpanan SSPN Prime dengan jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM50,000.
“Di sebalik tanggungjawab memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara, PTPTN juga sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, di samping melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan masyarakat.
“Sehubungan dengan itu, PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan wakalah zakat dalam bentuk akaun simpanan SSPN Prime kepada 500 orang murid asnaf dari 10 buah sekolah terpilih di negeri ini.
“Ini adalah bukti usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan negara,” katanya.
Ahmad Dasuki berkata, PTPTN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini telah melaksanakan Program Anak Emas bagi memastikan masyarakat di negeri ini mempunyai tabungan untuk pendidikan tinggi.
“Bermula 15 Januari 2024, sebanyak RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit simpanan SSPN Prime manakala RM100 lagi disalurkan kepada pemohon yang layak.
“Inisiatif baru ini merupakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan akan memberikan manfaat jangka panjang kepada anak-anak kelahiran Pulau Pinang, terutamanya dalam aspek pendidikan tinggi,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD