SEBERANG JAYA – “Ayuh..ayuh..! Ayuh negeriku… hari ini kita mesti menang!”, “Haria Penang Haria!”, “This is Penang!”
Itu antara laungan penuh bersemangat daripada 606 atlet Pulau Pinang yang akan berentap bagi memburu pingat dalam temasya dwitahunan, Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos 2024.
Pada temasya kali ini, Pulau Pinang menyasarkan untuk meraih sebanyak 40 pingat emas melalui 35 jenis sukan bersamaan dengan 488 acara keseluruhan yang dipertandingkan.
Bagi Para SUKMA pula adalah melibatkan 102 atlet istimewa dalam 10 jenis yang dipertandingkan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua yang berucap sebelum itu menuntut semua atlet supaya berjuang sehabis baik bagi membolehkan bendera Pulau Pinang berkibar megah di bumi wilayah Sarawak.
Beliau yang juga Pengarah Operasi Kontinjen Negeri Pulau Pinang berkata, kesemua atlet yang terpilih untuk bersaing dalam SUKMA 2024 adalah dalam kalangan terbaik yang diyakini mampu menjulang nama negeri Pulau Pinang.
“Sesiapa sahaja boleh bermain apa jua sukan atau menjalani latihan tetapi bukan calang-calang orang yang boleh melepasi kriteria yang telah ditetapkan oleh MSNPP untuk memulih atlet-atlet negeri.
“Dengan kata lain, atlet-atlet yang terpilih (menyertai SUKMA) membuktikan kemampuan diri untuk tampil ke hadapan dan menjadi atlet terbaik yang ada di negeri Pulau Pinang.
“Para atlet yang ada hari ini berani mengambil risiko untuk bersaing dan lebih penting pantang mengalah ketika menghadapi cabaran,” katanya ketika berucap pada katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Mengaum Semangat Harimau Kumbang dekat UiTM Cawangan Pulau Pinang di sini pagi tadi.
Heng Hua berkata, atlet sukan juga boleh diibaratkan sebagai tentera yang memasuki medan peperangan yang perlu berlawan habis-habisan untuk mempertahankan negara
“Dalam konteks sukan, atlet juga perlu berhempas pulas bertarung dengan pihak lawan untuk menjulang nama negeri Pulau Pinang melalui kemenangan (pingat emas).
“Justeru, apabila setiap daripada kita menjejakkan kaki ke wilayah Sarawak pastikan niat untuk melawan bersungguh- sungguh untuk membolehkan bendera Pulau Pinang berkibar megah,” katanya penuh semangat.
Mantan jaguh boling profesional negara, Datuk Shalin Zulkifli dilihat turut hadir memberikan kata-kata semangat kepada para atlet.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MSNPP