Seramai 67 pelajar cemerlang SPM terima insentif penghargaan

Admin
3bcae6d3 14da 4b9b b361 af2f4f591036

GEORGE TOWN – Seramai 67 orang pelajar dalam kawasan Parlimen Tanjong yang mendapat 7A hingga 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menerima insentif penghargaan atas kecemerlangan masing-masing.

Pemberian insentif bernilai RM15,000 itu adalah melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan (P) Al Mashoor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier, SMK (P) Methodist dan SMK Westlands.

Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata majlis penyerahan insentif ini bertujuan menghargai usaha keras semua pihak sehingga mencapai keputusan yang membanggakan.

“Majlis ini bukan hanya sekadar untuk menghargai pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga untuk mengiktiraf semangat kecekalan, daya ketahanan dan kepintaran untuk mengatasi segala cabaran yang telah anda (pelajar) hadapi.

“Sekali lagi, tahniah kepada semua penerima Insentif Kecemerlangan SPM 2023 dan tahniah kepada semua guru-guru dan ibu bapa,” katanya dalam majlis penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM 2023, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Zawawi Ahmad; Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Alan Lim Wei Lun dan Benji Ang Ming Quan; Pengetua SMK St. Xavier, Goh Hong Peng dan Pengetua SMKA (P) Al Mashoor, Rosnah Othman.

4242c3bf 0b4b 4556 b086 8206cc646139
LIM Hui Ying.

Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan bahawa insentif tersebut juga adalah sebahagian sumbangan untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan Parlimen Tanjong.

“Kerajaan MADANI amat prihatin dan mengambil berat kebajikan pelajar dan bidang pendidikan keseluruhannya.

“Tahun lepas sebanyak RM775,000 telah diperuntukkan kepada 15 buah sekolah dan RM200,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut (PPDTL) melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi program menaik taraf, penyelenggaraan dan membekalkan peralatan ke sekolah-sekolah.

“Usaha ini penting demi keselesaan dan keselamatan warga sekolah dan juga membolehkan para pelajar kekal fokus dalam persekitaran sekolah yang selesa,” tambah Hui Ying.

Teks dan Gambar : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI