BERTAM – Seramai 83 atlet para Pulau Pinang sedia berentap dalam temasya dwitahunan, Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Ke-21 di Sarawak yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 29 September ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa berdasarkan semangat yang ditonjolkan oleh para atlet, beliau optimis kontinjen Pulau Pinang mampu mengulangi kejayaan seperti sebelum ini.
“Saya telah berjumpa dengan hampir semua atlet, dan dengan semangat juang yang ditunjukkan hari ini, kita yakin sasaran untuk membawa 16 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa akan dapat dicapai.
“Beberapa acara sukan dilihat berpotensi menyumbang pingat, terutamanya renang dan olahraga.
“Selain itu, kita turut berharap dapat memperbaiki kedudukan keseluruhan pada temasya kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.
Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara penyerahan bendera Pulau Pinang kepada atlet badminton, Muhammad Amin Azmi yang dipertanggungjawabkan sebagai pembawa bendera Kontinjen Para Pulau Pinang.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar dan Timbalan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Pulau Pinang, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Shahrizal Abd. Aziz.
Dalam pada itu, Zi Sen menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran dalam bentuk wang tunai buat atlet yang berjaya memenangi pingat dalam Para Sukma ke-21.
Menurut beliau, ganjaran yang dijanjikan menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (Skimas) itu akan diberikan sama rata buat atlet yang beraksi cemerlang dalam temasya berkaitan.
“Seperti atlet biasa, mereka juga akan memperoleh insentif sama mengikut jenis pingat yang dimenangi.
“Kita akan beri tanpa diskriminasi buat mana-mana atlet para yang berjaya mengharumkan nama negeri dan dalam bidang sukan masing-masing.
“Jumlah ganjaran akan diputuskan dan kita akan buat pengumuman tidak lama lagi,” katanya.
Pada masa sama, Zi Sen memberitahu bahawa pihaknya turut akan mengetengahkan cadangan pemberian elaun kepada jurulatih atlet para yang selama ini memberikan khidmat secara sukarela berbakti tanpa sebarang bayaran.
“Pengorbanan masa, tenaga dan kekangan peruntukan tidak menjadi penghalang buat jurulatih mencurahkan tenaga demi membimbing atlet sekali gus menyerlahkan kekuatan masing-masing.
“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti jurulatih yang terlibat, saya akan umumkannya selepas keputusan diperoleh menerusi mesyuarat bersama MSNPP nanti,” katanya.
Pada edisi kali ini, Pulau Pinang menghantar seramai 83 atlet dan 49 pegawai bagi menyertai semua 10 sukan Para Sukma iaitu olahraga, badminton, renang, pingpong, tenpin boling, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD