Serambi : Mendepani kesenjangan pendapatan: ke arah dasar sosial yang adil

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI

KAEDAH membuatan keputusan demokrasi yang paling asas adalah melalui suara majoriti, satu konsep binari di mana pilihan yang mendapat lebih daripada separuh undi akan diterima pakai. Walau bagaimanapun, model ringkas ini, yang digunakan dalam kebanyakan badan perundangan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, dengan mudah mampu membawa kepada majoritarianisme, atau mudahnya, “tyranny of the majority” atau “kezaliman majoriti”.

Dalam keadaan sedemikian, khasnya apabila tiada perlindungan undang-undang, golongan minoriti mudah ditindas, sama ada minoriti dari segi kaum, jantina atau kelas. Ini adalah amat relevan kepada masyarakat di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang wujud bersama-sama majority Bumiputera (kebanyakan mereka adalah Melayu-Islam), yang membentuk lebih 50 peratus daripada penduduk.

Situasi etno-agama yang rumit ini memerlukan pendekatan demokrasi yang lebih intuitif dan adil, yang bukan sahaja memenuhi kehendak dan keperluan majoriti, tetapi juga melindungi hak dan keperluan golongan minoriti.

Dalam erti kata lain, kerajaan perlu memastikan penyediaan mobiliti sosial yang bukan hanya semata-mata ruang dan infrastruktur, dan kemudian membiarkannya tanpa kawalan. Isu yang saya rujuk di sini adalah ketidaksamaan pendapatan. secara tradisinya kita menerima bahawa ketidaksamaan adalah kesan semulajadi akibat pertumbuhan ekonomi kerana persaingan yang sihat dan meritokrasi akan menyebabkan hasil yang tidak sama rata. Lagipun, adalah masuk akal bahawa mereka yang bekerjalebih keras dan lebih bijak daripada yang lain akan mendapat lebih banyak faedah berbanding dengan mereka yang tidak berdaya saing.

Walau bagaimanapun, bukti empirikal menegaskan bahawa ketidaksamaan pendapatan mungkin tidak mapan dan membentuk keseimbangan serta pertumbuhan ekonomi. Hal ini disebabkan pendapatan yang tidak seimbang biasanya akan menyebabkan kekayaan berkepuk hanya dalam kalangan golongan teratas, dan seterusnya melemahkan permintaan mereka yang berada di bawah.

Pada masa yang sama, ketidaksamaan pendapatan juga mewujudkan kitaran ganas yang merencatkan akses pendidikan yang berkualiti, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi dan mobiliti sosial akhirnya semakin jauh daripada jangkauan orang kebanyakkan. Dalam erti kata lain, bukan sahaja yang kaya semakin kaya, yang miskin akan menjadi lebih miskin, baik dari segi material mahupun sosial.

Oleh itu, peranan kerajaan amat penting dalam pengimbangan semula ketidaksamaan pengagihan pendapatan, bukan sahaja bagi memastikan kebajikan rakyat, tetapi juga untuk menggalakkan pertumbuhan. Konsep makronya adalah cukup mudah – semakin sihat rakyatnya, semakin baik kualiti berpendidikan mereka dan lebih banyak yang mereka usahakan, akan menghasilkan permintaan pengguna yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih mapan.

Kita kini merupakan antara negara tertinggi daripada segi ketidaksamaan pendapatan di rantau ini. Dengan pekali GINI 0.4621, jurang pendapatan kita adalah yang paling luas di Asia Tenggara. 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan terendah Malaysia mendapat sejumlah 14.3 peratus daripada jumlah pendapatan manakala 20 peratus teratas menikmati 50 peratus daripada jumlah pendapatan.

Walaupun tidaklah sukar memahami keperluan untuk kerajaan membantu mengagihkan semula kekayaan, namun konteks Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian etnik dan serta sejarah kolonial yang panjang menjadikan isu ini rumit.

Selepas tahun 1969, kerajaan Malaysia mengiktiraf keperluan untuk menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang luas yang berada jelas di sepanjang garis perkauman, di mana Bumiputera, walaupun majoriti, hanya dimiliki ekuiti saham sebanyak 2.4 peratus dalam ekonomi, berbanding dengan kaum Cina, yang terdiri sebahagian besar daripada kelas kapitalis. Berhadapan dengan situasi ketinggalan masyarakat Melayu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dirancang untuk menangani jurang ini. DEB melibatkan pendekatan serampang dua mata, iaitu: (1) untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, dan (2) penyusunan semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Selepas dua dekad DEB, kadar kemiskinan telah Berjaya dikurangkan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada hanya satu digit kini. Pemilikan ekuiti korporat tempatan juga meningkat, manakala bahagian Bumiputera meningkat sepuluh kali ganda kepada kira-kira 20 peratus menurut data rasmi. Walau bagaimanapun, para pengkritik menegaskan walaupun DEB berjaya mengangkat sebahagian besar daripada rakyat negara ini keluar daripada perangkap kemiskinan dan mewujudkan kelas menengah Melayu yang besar, dasar ini juga telah digunakan dan disalahgunakan bukan sahaja untuk memperkayakan segelintir elit kelas kapitalis Melayu, tetapi juga sebagai alat naungan yang mencipta kebergantungan.

Berselindung di sebalik DEB, penswastaan, pemilikan harta, keperluan penyenaraian korporat, jawatan kanan awam, dan peluang pendidikan juga telah dinikmati dan dimonopoli oleh mereka yang berkuasa – semua dihalalkan atas nama “membantu orang Melayu”.

Hasilnya, beberapa orang jutawan Melayu telah dilahirkan manakala purata Bumiputera masih terperangkap dengan prospek kecil mobiliti sosial. Menurut Model Ekonomi Baru Kerajaan Persekutuan, di bawah 40 peratus daripada isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan purata isi rumah RM1,500 sebulan, dengan Bumiputera yang membentuk hampir tiga suku daripada jumlah 40 peratus ini.

Walaupun ketidaksamaan antara etnik sememangnya telah dikurangkan, jurang dalam (intra) etnik telah meningkat dengan pesat. Kini Malaysia menjadi negara kapitalis monopoli, manakala sektor swasta mula meninggalkan negara ini. Pendek kata, tujuan DEB untuk menangani kemiskinan dan meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi telah membenarkan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan kelas kapitalis pemerintah.

Oleh itu, apa yang diperlukan bukan penghapusan tindakan afirmatif, tetapi orientasi dasar dari berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.

Khususnya, perhatian mesti ditumpukan kepada yang terpinggir, seperti Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak, selain minoriti etnik dan agama, dan mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah, untuk membantu mereka bersaing dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara kita.

Kita juga perlu satu agenda ekonomi yang mengiktiraf masalah ketidaksamaan pendapatan, dan bertujuan untuk mengurangkannya dengan memperkasakan mereka yang berada di bawah, menyediakan mereka dengan peluang-peluang kesihatan, pendidikan dan ekonomi, tanpa mengira kaum.

Paling penting, sebarang tindakan afirmatif mesti dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab, untuk mengurangkan kemungkinan rasuah dan kronisme.

“Negara bukan dinilai berdasarkan layanan kepada rakyat atasan tetapi layanan kepada rakyat paling bawah”- Nelson Mandela.