Serambi PI : 1BestariNet bakal menjadi gajah putih yang paling besar

Ucapan Zairil Khir Johari semasa Perbahasan RUU Perbekalan 2015 di Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan.

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera
merangkap Pengarah Eksekutif
Penang Institute.

Tuan pengerusi,

Selama lebih setahun saya membangkitkan pelbagai kebimbangan mengenai projek 1BestariNet yang melibatkan pemasangan jalur lebar berkelajuan tinggi 4G merentasi semua 10,000 sekolah di seluruh negara, serta penyediaan pelantar pembelajaran maya (VLE) ataupun Virtual Learning Environment.

Pada saya, projek ini terlalu bercita-cita tinggi. Sungguhpun saya tidak membantah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah, saya sentiasa mempersoalkan kebijaksanaan pelaksanaan projek yang bernilai RM4.1 bilion sepanjang tempoh 15 tahun ini. Kebimbangan saya telah pun terbukti benar dengan Laporan Ketua Audit Negara yang terkini.

Siri ketiga Laporan Ketua Audit Negara 2013 menunjukkan bahawa 8,807 sekolah sudah dilengkapi dengan sistem VLE. Namun demikian, statistik pendaftaran masuk ataupun login bagi bulan Mac 2014 adalah antara 0.01 hingga 4.96 peratus. Malah, penggunaan sistem tersebut dalam kalangan murid adalah lagi teruk, iaitu daripada 0.17 hingga 0.64 peratus, iaitu kurang daripada satu peratus. Statistik ini sangat menrunsingkan, memandangkan RM663 juta sudah pun dibelanjakan sejak tahun 2012.

Kadar penggunaan yang amat rendah di sebalik pelaburan yang begitu besar adalah disebabkan beberapa faktor seperti kelemahan infrastruktur sedia ada, sambungan jalur lebar yang lembap, liputan Internet tanpa wayar yang tidak mencukupi, masalah ketercapaian kepada sistem, kekurangan perkakas sokongan seperti komputer riba dan projektor, serta ketiadaan pemantauan dan garis panduan yang jelas bagi penggunaan VLE.

Jelas, pelaksanaan 1BestariNet secara sekaligus di 10,000 sekolah di serata negara merupakan tindakan yang tidak wajar. Dengan kadar penggunaan yang begitu rendah setelah dua tahun setengah dijalankan, adakah Kementerian akan mengakui bahawa projek ini bakal menjadi gajah putih yang paling besar dalam sejarah pendidikan Malaysia?

Kementerian juga perlu menjelaskan sama ada terdapat rancangan sandaran (backup plan) sekiranya penggunaan sistem ini gagal ditingkatkan dalam masa terdekat. Adakah Kementerian akan meneruskan kontrak berbilion ringgit ini ataupun menghentikannya?

Penyelewengan kontrak 1BestariNet

Tuan pengerusi,

Menurut Laporan Ketua Audit Negara juga, wujud penyelewengan pelaksanaan 1BestariNet oleh kontraktor YTL Communications Sdn Bhd. Antara penyelewengan yang berlaku ini termasuk ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak, kekurangan pengurusan nilai (value management), kelewatan dalam pemasangan infrastruktur serta liputan yang tidak mencukupi.

YTL telah diberi masa sehingga 30 Mac 2013 untuk memasang Internet jalur lebar 4G di semua 10,000 sekolah. Walau bagaimanapun, menjelang tarikh akhir itu, hanya 6,092 sekolah bersamaan 59.3 peratus telah disambungkan. Setahun kemudian, hanya 88.9 peratus telah selesai, dengan baki kira-kira seribu lebih sekolah yang masih menunggu. Hasil daripada kelewatan ini, YTL telah didenda RM2.4 juta oleh Kementerian Pendidikan.

Penyelewengan lain yang didapati dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk kegagalan kontraktor untuk mendapatkan kelulusan teknikal daripada MAMPU dan Kementerian, serta kegagalan untuk menjalankan Penilaian Keperluan Sekolah sebelum pemasangan infrastruktur. Akibatnya, 58 peratus daripada 501 sekolah yang diselidik melaporkan bahawa sistem 1BestariNet yang dipasang tidak meliputi keseluruhan kawasan sekolah, walaupun ia merupakan syarat wajib dalam kontrak antara Kementerian dan YTL.

Di samping itu, Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan bahawa kelajuan jalur lebar yang disediakan rata-rata kurang memuaskan dan jauh lebih rendah daripada syarat kontrak yang menetapkan kelajuan daripada 4Mbps sehingga 20Mbps.

Oleh yang demikian, selain daripada denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas YTL kerana kelewatan pemasangan infrakstruktur 1BestariNet, apakah tindakan-tindakan lain yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi penyelewengan kontrak yang disebutkan tadi?

1BRIS: keuntungan untuk kroni semata-mata?

Tuan pengerusi,

Lebih teruk lagi, Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan beberapa kelemahan kontrak yang bukan sahaja merugikan Kerajaan, tetapi membawa keuntungan besar kepada YTL. Salah satu contoh yang jelas adalah pemasangan menara pemancar 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS, yang dipasang di premis sekolah untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa wayar.

Menurut penemuan audit, Kementerian telah mendapatkan input daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan dengan kadar sewa yang sesuai untuk penggunaan premis sekolah sebagai tapak 1BRIS. Justeru, JPPH telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 bagi setiap tapak.

Walau bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, sebaliknya menyatakan bahawa syaratsyarat kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara pemancar secara percuma. Pun begitu, Kementerian telah memutuskan untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak 1BRIS.

Namun demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza dengan syor JPPH, iaitu RM1,200 sebulan. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar RM1,000 setahun adalah “tidak munasabah.” Dengan sebanyak 3,203 menara pemancar 1BRIS yang dipasang di seluruh negara, pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan adalah RM46.12 juta setahun. Malangnya, YTL hanya perlu membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi Kementerian.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati bahawa berdasarkan kontrak yang dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti yang berkaitan dengan 1BestariNet termasuk menara pemancar 1BRIS terpaksa ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, sementara kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.

Ini adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak. Malah, pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit Negara telah mengakui bahawa pemasangan menara pemancar 1BRIS telah meningkatkan kos elektrik sekolah sebanyak RM150 hingga RM180 sebulan. Jika digandakan dengan 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, jumlah peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta setahun. Keadaan ini langsung tidak masuk akal, kerana Kerajaan merupakan pelanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya dibebani dengan caj utiliti yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos operasi kontraktor.

Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTL akan memperolehi keuntungan atas angin hampir RM50 juta setahun, ataupun RM750 juta sepanjang tempoh 15 tahun projek 1BestariNet. Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas YTL sebenarnya tidak bermakna langsung berbanding ratusan juta ringgit keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta pendapatan daripada penggunaan komersil menara pemancar 1BRIS, di samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut.

Hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang amat berat sebelah ini. Sama ada Kerajaan berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian yang penuh kelemahan ini, ataupun perjanjian ini sengaja dibentuk sedemikian rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. Walau apa pun jawapannya, Kementerian harus bertanggungjawab dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerugian ini akan diatasi.

Mengapa peruntukan untuk pembangunan guru dikurangkan?

Tuan pengerusi,

Saya ingin menyentuh mengenai latihan guru pula. Umum bersetuju bahawa faktor paling penting dalam pembangunan murid adalah kualiti tenaga pengajar, yakni guru. Malah pelbagai kajian menunjukkan bahawa kualiti guru adalah lebih penting berbanding faktor-faktor lain seperti infrastruktur sekolah atau bahan pembelajaran.

Perkara ini juga benar dalam penggunaan VLE. Misalnya, di United Kingdom, badan rasmi pemantauan sekolah iaitu Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills (Ofsted) telah membuat kesimpulan yang sama dalam satu laporan 2009 bertajuk “Virtual learning environments: an evaluation of their development in a sample of educational settings.”

Dalam laporan tersebut, didapati bahawa sekolah hanya berjaya menunjukkan kemajuan dalam penggunaan VLE apabila guru dapat menggunakan sistem e-pembelajaran itu dengan efektif dan penuh motivasi. Sebaliknya, apabila guru tidak dapat memaksimumkan potensi sistem ini, murid tidak mendapat sebarang faedah. Dalam erti kata lain, kejayaan atau kegagalan sistem VLE adalah amat bergantung kepada keyakinan dan kreativiti guru dalam menghasilkan bahan untuk murid mereka.

Malangnya, Kementerian Pendidikan seolah-olah gagal untuk memahami perkara penting ini. Daripada Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, saya mendapati bahawa jumlah peruntukan untuk “pembangunan profesionalisme” guru telah dikurangkan daripada RM1.54 bilion tahun ini kepada RM961 juta pada tahun 2015. Ini bersamaan dengan pengurangan besar sebanyak kira-kira RM600 juta.

Apabila dirungkaikan, peruntukan untuk “ pembangunan profesionalisme” ini dibahagikan kepada tiga kategori, di mana peruntukan ketiga-tiga juga dipotong. Bagi“latihan pra-perkhidmatan,” peruntukan telah dikurangkan daripada RM948 juta pada tahun 2014 kepada RM851 juta pada tahun hadapan. Sementara itu, “latihan kepimpinan” dipotong daripada RM181 juta kepada RM62 juta. Penurunan yang paling mendadak pula adalah dalam “latihan dalam perkhidmatan,” yang hanya mendapat RM48 juta pada tahun hadapan berbanding RM410 juta sebelumnya.

Pemotongan peruntukan pembangunan guru yang drastik ini adalah mengejutkan, khususnya memandangkan peruntukan Kementerian Pendidikan secara keseluruhan melihatkan peningkatan daripada RM54.6 bilion kepada RM56.6 bilion.

Namun demikian, saya memerhatikan bahawa terdapat butiran perbelanjaan baru dalam belanjawan yang dipanggil “transformasi pegawai perkhidmatan pendidikan.” Program ini bakal menerima peruntukan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2015. Ia tidak jelas sama ada program ini melibatkan latihan guru, tetapi jika benar sekali pun, ia hanya akan membawa jumlah peruntukan untuk pembangunan guru kepada RM1.21 bilion. Jumlah ini masih kurang sebanyak RM350 juta berbanding dengan RM1.54 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2014.

Sekiranya peruntukan bagi pembangunan guru telah dikurangkan dengan begitu banyak sedangkan jumlah peruntukan bagi Kementerian telah meningkat, ke manakah perginya lebihan peruntukan tersebut?

Menurut anggaran perbelanjaan, dana tambahan sebanyak RM288 juta telah diperuntukkan kepada “pengukuhan operasi pendidikan,” kategori yang menerima jumlah peruntukan sebanyak RM897 juta berbanding RM609 juta dahulu. Daripada jumlah ini, RM615 juta diperuntukkan untuk “teknologi maklumat,” iaitu peningkatan besar sebanyak RM200 juta.

Kementerian perlu menjelaskan perkara ini dengan serta-merta. Jika benar Kerajaan bercadang untuk mengorbankan pembangunan guru demi membolehkan lebih banyak pelaburan dalam teknologi maklumat, maka mereka jelas hilang arah.

Sebagaimana contoh di UK telah membuktikan, hasil pembelajaran tidak akan dipertingkatkan dengan teknologi yang terbaik sekiranya guru tidak bermotivasi dan berkeupayaan. Oleh itu, saya percaya lebih memanfaatkan sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada pembangunan modal insan tenaga pengajar dan bukannya kepada teknologi semata-mata.

Sekian, terima kasih.