PADA 6 Disember lepas telah berlangsung Sidang Kemuncak Ekonomi Asia yang ke-lapan di Hotel Traders George Town. Anjuran oleh Asian Strategy & Leadership Institute dengan kerjasama Penang Institute memfokuskan perbincangan ke arah kelestarian dan pemacuan transformasi ekonomi baru di rantau Asia.
Y.A.B. Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam ucaptamanya menegaskan kepentingan bakat tenaga kerja di samping pemilihan sektor yang tepat dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi, perangkuman sosial, kelestarian dalam persekitaran dan urus tadbir yang telus menjadi titik tolak dalam pemacuan ekonomi baharu yang lebih kompetitif. Cabaran untuk memiliki bakat tenaga kerja bukan sahaja harus dilihat dari sudut kualiti pendidikan malah kepentingan dalam mengekalkan mereka juga perlu dititikberatkan.
Kelestarian Perkembangan Ekonomi di Asia dalam Ketidaktentuan Global Bagaimanakah corak pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2013? Pertumbuhan ekonomi negara dianggarkan akan tumbuh pada kadar 7.5% bermula dari tahun 2001, sebaliknya tumbuh pada kadar kurang 6% secara purata setiap tahun. Faktor kebergantungan kepada pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment, FDI) masih tinggi. Penghujung tahun 2001 selepas krisis ekonomi Asia beransur pulih, China telah menjadi ahli World Trade Organization (WTO) yang mana memberikan kelebihan kepada negara itu untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat secaraterus tanpa sebarang bentuk diskriminasi. Ianya memberi impak besar kepada Malaysia dan Pulau Pinang di mana kemasukan FDI tidak serancak sebelumnya.
Ketidakupayaan Malaysia untuk menghasilkan produk kejuruteraan berteknologi terkini berbanding Jepun, Taiwan dan Korea yang seiring dengan kebolehupayaan Amerika Syarikat, sehingga mereka kekal berkembang tanpa bergantung kepada FDI sepenuhnya. Ekonomi di rantau Asia dijangka sedikit perlahan pada tahun 2013 disebabkan oleh tindakan penurunan nilai mata wang oleh negara besar seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
Rangsangan Pertumbuhan Hijau – Tenaga & alam sekitar di Asia Terdapat empat faktor utama yang mengubah situasi masa depan iaitu urbanisasi, perubahan demografi, perubahan cuaca dan globalisasi. Pertambahan populasi di kawasan bandar dan warga emas dianggarkan mendominasi menjelang tahun 2050.
Sehubungan dengan itu, kesan negatif berpunca daripada perubahan ini terus meningkatkan pelepasan gas karbon dioksida dan peningkatan dalam penggunaan bahan mentah tanpa kawalan yang baik sangat meresahkan. Oleh itu, memahami definisi atau kehendak sebenar ekonomi hijau adalah penting kerana potensinya dapat menghasilkan produk yang lebih kompetitif, penggunaan sumber secara efisyen serta pengurangan impak negatif kepada alam sekitar.
Inisiatif Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Hijau Pulau Pinang, syarikat swasta mahupun syarikat bukan kerajaan atas tanggungjawab masing-masing, mengikut prinsip ekonomi hijau yang betul diharap dapat memberi impak berterusan kepada kepentingan ekonomi hijau ini.
Urus Tadbir yang Telus menjana Pertumbuhan Ekonomi Satu daripada kehendak dan keperluan masyarakat adalah pekerjaan atau penjanaan sumber pendapatan yang berterusan.
Rasuah atau pun ketidaktelusan dalam sistem urus tadbir biasanya disebabkan oleh janaan sumber pendapatan oleh individu tersekat
atau terhad. Tunisia dan Greece antara negara korup di dunia yang gagal membentuk kerajaan yang telus terus gagal dan mengalami komplikasi dalam mengembangkan ekonomi semasa. Hal ini menyebabkan sistem sedia ada gagal berfungsi dalam penyediaan keperluan rakyat yang kian meluas dan meningkat. Justeru, kawalan serta penyediaan peluang pekerjaan dalam masyarakat secara menyeluruh penting dalam membentuk teras urus tadbir yang baik.
Tanggungjawab korporat adalah bukan sahaja menghormati hak kemanusiaan tetapi memastikan kerangka kerjanya lebih kukuh. Oleh hal yang sedemikian, kelestarian terhadap manusia sejagat terjamin kerana kelestarian terhadap kesaksamaan jantina dan isu kepentingan dalam perniagaan kekal terjamin.
Inovasi & Infrastruktur untuk Masa Depan Penyediaan akses serta tahap kelajuan jalur lebar dan internet di Malaysia perlu dipertingkatkan.
Pada masa hadapan, industri pembuatan akan bergerak mengikut keperluan, acuan dan kehendak semasa.
Kebergantungan kepada inovasi serta teknologi mengurangkan penggunaan sumber manusia.
Perkembangan dalam inovasi sumber tenaga semakin pantas terutama di Amerika Syarikat.
Di Malaysia, terdapat peluang yang begitu besar dalam penghasilan produk nilai tambah berasaskan bio-mass kepada biochemical yang mempunyai nilai pasaran tinggi. Kurang 1% daripada kadar dalam negara k a s a r (KDNK) neg a ra dibelanjakan dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding Korea Selatan memperuntukkan 3.5% daripada KDNK-nya dalam sektor yang sama.
Peranan oleh syarikat swasta dalam R&D adalah penting kerana Korea Selatan sebagai contoh, 75% daripada R&D-nya dipacu oleh sektor swasta.
Bagaimana inovasi dan infrastruktur dapat dilaksanakan secara praktikal untuk masa hadapan? Inovasi dan struktur tidak semestinya penghasilan sesuatu benda baharu tetapi boleh dipraktikkan pada asas yang lebih baik. Di Dell sebagai contoh, pekerja dibekalkan akses
internet dan implementasi kerja dari rumah meningkatkan tahap produktiviti pada kadar 25 hingga 30 peratus. Kelebihan penggunaan media sosial seperti Facebook dan sebagainya juga secara positif mampu mengubah lanskap inovasi dan infrastruktur masa hadapan.
Pulau Pinang & Koridor Utara: Peluang Pelaburan dan Perniagaan Hampir setengah abad kecemerlangan industri pembuatan di Pulau Pinang terus meyakinkan pelabur asing.
Kematangan dalam sektor ini menjadikan ia satu kelebihan kepada peningkatan jumlah bakat atau sumber manusia yang kompetitif.
Dasar urus tadbir yang telus dan kepelbagaian bahasa pertuturan juga faktor tambahan menjadikan Pulau Pinang destinasi terbaik pelabur terutama dari China dan Taiwan.
Selain itu, penambahbaikan infrastruktur seperti jambatan kedua yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan dan penaiktarafan pelabuhan dijangka merancakkan lagi peluang pelaburan dan perniagaan di negeri ini.
Konklusi
Persekitaran dan situasi sosioekonomi adalah dinamik. Penglibatan kerajaan dalam membentuk polisi diperlukan. Sistem pendidikan sedia ada seharusnya setaraf sistem terbaik yang dapat membekalkan sumber manusia kelas dunia. Sumber manusia atau bakat tenaga kerja ini seterusnya mampu menghasilkan teknologi terkini serta menjana ekonomi hijau. Oleh itu kebergantungan negara kepada pelaburan langsung asing tidak lagi menjadi fokus atau enjin utama dalam menentu hala tuju ekonomi yang lestari.
Ditulis oleh Che Afandy Che Yusof
Penganalisa Penang Institute.

Sidang Kemuncak Ekonomi Asia di sini baru-baru ini.