Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute
SAMBIL pendedahan demi pendedahan dibuat sekitar skandal mega 1MDB, orang ramai kini mula bimbang dengan kemungkinan terpaksa menanggung padah kegagalan syarikat tersebut menguruskan kewangannya.
Dengan hutang yang kian menggunung sehingga mencecah RM42 bilion setakat ini, serta kegusaran mengenai kemampuan syarikat dana kekayaan negara itu untuk melangsaikan hutang yang begitu besar, timbullah kekhuatiran bahawa dana-dana kerajaan serta institusi- institusi awam lain akan dipergunakan untuk menyelamatkan 1MDB.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah pun memberi amaran bahawa konsesi penjanaan tenaga bebas (IPP) yang dianugerahkan tanpa tender terbuka kepada 1MDB akan menyebabkan rakyat membayar lebih untuk tenaga elektrik. Walaupun hakikat ini pada mulanya dinafikan Kerajaan, pengumuman Suruhanjaya Tenaga pada bulan lepas mengenai kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 22 peratus bagi loji janakuasa 1MDB akan mengakibatkan TNB terpaksa membeli tenaga pada kadar yang lebih tinggi daripada loji tersebut. Akhirnya, siapakah yang akan menanggung kos berlebihan ini, sekiranya tidak pengguna, yakni rakyat Malaysia?
Maka muncullah para penyelamat
Dengan beban hutang yang begitu menggerunkan sehingga bunga pinjaman pun tidak mampu dibayar, terpaksalah 1MDB mencari para penyelamat dalam kalangan institusi-institusi awam dan syarikat-syarikat kaitan kerajaan.
Dalam jawapan Parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah mengakui bahawa Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah melabur sebanyak RM1.4 bilion dalam 1MDB dan anak-anak syarikatnya, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula telah memperolehi bon 1MDB yang berjumlah RM200 juta. Pelaburan-pelaburan ini boleh dilihat sebagai “suntikan modal” kepada syarikat yang dilumuri hutang tersebut.
Walaupun jelas dana awam sedang digunakan untuk menyelamatkan 1MDB, ternyata sekali pendedahan yang paling menaikkan angin orang ramai adalah keputusan Lembaga Tabung Haji untuk membeli sebidang tanah seluas 1.56 ekar di projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang dimiliki 1MDB pada harga RM188 juta atau RM2,773 skp.
Berdasarkan maklumat daripada dokumen- dokumen bocor yang disiarkan dalam sebuah blog tidak bernama, menteri Umno yang bertanggungjawab ke atas urusan dana bakal haji telah menyegerakan sesuatu yang boleh dilihat sebagai “urusniaga suka sama suka” antara 1MDB dan Tabung Haji.
Walaupun menteri tersebut telah mempertahankan urusniaga tersebut sebagai satu pelaburan yang bijak kerana harga pembelian RM2,773 skp itu cukup berbaloi, kita pastinya ingat bahawa 1MDB telah memperolehi keseluruhan 70 ekar tanah TRX pada harga runtuh RM64 skp pada tahun 2011.
Maka timbullah soalan, sekiranya kerajaan sanggup menjual tanah yang bernilai tinggi itu pada harga begitu murah kepada 1MDB yang merupakan syarikat kaitan kerajaan, maka mengapakah Tabung Haji, yang juga merupakan institusi kaitan kerajaan, perlu membeli tanah yang sama daripada 1MDB pada harga RM2,773 skp ataupun 43 kali ganda apa yang dibayar empat tahun lepas? Sekiranya Kerajaan ingin memberi keuntungan kepada para penabung Tabung Haji, mengapakah tidak tanah itu dijual terus tanpa melalui 1MDB yang mengaut keuntungan atas angin?
Lebih memeranjatkan lagi, keputusan untuk membeli tanah tersebut telah dibuat meskipun terdapat laporan penilaian dalaman Tabung Haji pada 9 April 2015 yang menyatakan bahawa pelaburan tersebut dikira “berisiko tinggi.” Antara permasalahan yang ditekankan dalam laporan tersebut adalah sektor hartanah di Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan, cabaran makro-ekonomi yang melemahkan permintaan, kesukaran pembeli untuk mendapat pinjaman, bekalan kondominium mewah yang melimpah di Lembah Klang, serta pemajuan projek TRX yang tampaknya berjalan lambat. Malah, laporan tersebut juga menyatakan bahawa Tabung Haji akan berhadapan dengan risiko reputasi sekiranya ia dilihat berkecimpung dengan 1MDB.
Namun begitu, akhirnya dibeli juga tanah tersebut dan untunglah 1MDB kerana berjaya meraih laba sebanyak RM184 juta dengan hanya memainkan peranan sebagai broker hartanah.
Tabung Haji pun dia, 1MDB pun dia juga
Persoalan mengenai pentadbiran korporat serta pertembungan kepentingan juga mula timbul berikutan pendedahan bahawa terdapat empat eksekutif kanan Tabung Haji yang turut memainkan peranan besar di 1MDB.
CEO Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail sebenarnya juga seorang ahli lembaga pengarah 1MDB, manakala Timbalan CEO Tabung Haji Dato’ Johan Abdullah pula menjawat sebagai pengerusi anak syarikat 1MDB. Pada masa yang sama, ahli panel pelaburan Tabung Haji Tan Sri Abdul Samad Alias serta pengarah Tabung Haji Tan Sri Irwan Siregar juga turut menduduki lembaga pengarah 1MDB.
Justeru, kepentingan siapakah yang mereka pedulikan ketika memutuskan untuk melaksanakan urusniaga jual beli tanah antara Tabung Haji dan 1MDB? Adakah Ismee, Johan, Abdul Samad dan Irwan bertindak bagi pihak jutaan penabung Tabung Haji atau adakah mereka lebih mementingkan usaha menyelamatkan masa depan kewangan 1MDB?
Pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji bukan sahaja telah gagal menjalankan tugas menguruskan dana awam, tetapi juga gagal sebagai pemegang amanah ibadat haji umat Islam. Ini tidak terhad kepada mereka yang berperanan di kedua-dua Tabung Haji dan 1MDB sahaja, tetapi keseluruhan ahli lembaga termasuk Pengerusi Tabung Haji Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Namun, hakikatnya tanggungjawab terbesar arus dipikul oleh pemimpin tertinggi, iaitu Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak. Segala kebobrokan ini pastinya tidak terjadi jika bukan kerana nasib malang 1MDB yang membawa kepada bala berjumlah RM42 bilion yang tidak mampu dilunaskan.
Walau bagaimanapun, usaha menyelamatkan 1MDB melalui suntikan dana awam tidak terhad kepada Tabung Haji, KWAP dan KWSP sahaja. Turut didedahkan baru-baru ini ialah penglibatan Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang membeli sukuk 1MDB bernilai RM85 juta.
Secara kebetulan, Takaful Malaysia juga ada kaitannya dengan 1MDB melalui pengerusinya sendiri, Tan Sri Ismee Ismail. Sepertimana kita tahu, Ismee adalah ahli lembaga pengarah 1MDB yang dilantik semasa penubuhan syarikat dana kekayaan negara itu pada awal tahun 2009. Dua bulan selepas lantikan Ismee kepada 1MDB, Takaful Malaysia telah memperolehi bon bernilai RM85 juta daripada 1MDB. Beberapa bulan kemudian, Ismee dilantik menjadi pengerusi lembaga pengarah Takaful Malaysia.
Jika ada pun yang menyatakan bahawa lantikan Ismee sebagai pengerusi Takaful Malaysia telah berlaku selepas pembelian bon 1MDB oleh syarikat insurans kaitan kerajaan itu, hakikatnya masih sama kerana Takaful Malaysia dimiliki oleh BIMB Holdings yang sendirinya dikawal oleh Tabung Haji, di mana Ismee menjawat sebagai CEO sejak tahun 2006. Jelas, ke mana sahaja Ismee pergi, kepentingan 1MDB didahulukan.
Bagai tikus meninggalkan kapal karam
Mutakhir ini, antara yang tegas menegur perkara ini adalah orang pentadbiran sendiri, seperti bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Dato’ Saifuddin Abdullah serta sayap Pemuda Umno sendiri melalui ketuanya yang juga seorang Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin. Baru sahaja tempoh hari Pemuda Umno menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap Perdana Menteri, di tengah- tengah ribut dakwaan dan persoalan mengenai skandal 1MDB. Namun, bak kata pepatah, sedangkan pasir pantai pun berubah, ini kan pula hati orang politik.
Belum pernah sebuah isu politik mendapat sambutan yang seia sekata dari kedua-dua belah pihak sepertimana yang sedang berlaku sekarang. Kritikan pedas disuarakan bukan sahaja oleh pimpinan DAP, PKR dan Pas, malah pimpinan Umno termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun mengutuk urusniaga terbabit, dengan disambut oleh kumpulan ultra-Melayu, Perkasa.
Semakin jelas kelihatan kapal yang dinakhodai Dato’ Sri Najib Razak kian karam. Pimpinan Umno pula kelihatan tidak bersimpati dengan presiden mereka, malah menambah tekanan terhadapnya. Terbaru, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi amaran bahawa Umno bakal rebah sekiranya persoalan mengenai 1MDB tidak dijawab, selain mendesak agar seluruh lembaga pengarahnya dipecat dan disiasat polis.
Rakyat menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan
Kerajaan Persekutuan kini tiada pilihan selain mengambil langkah-langkah jelas dan tegas demi memastikan kebertanggungjawaban atas kecuaian pihak pengurusan dan lembaga penasihat yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Hutang sebanyak RM42 bilion tidak boleh diambil ringan, khususnya apabila 1MDB kini tidak mampu membayar bunga hutangnya sehingga terpaksa meminjam lagi.
Apabila sesebuah syarikat terpaksa meminjam duit untuk tujuan membayar bunga pinjaman lain, jelas modal perniagaannya tidak lestari. Menggunakan logik yang sama, adalah lebih baik sekiranya 1MDB segera membendung kerugian dengan menghentikan operasi 1MDB dan menstruktur semula segala aset dan liabilitinya.
Apa-apa pun, Perdana Menteri tidak boleh terus meremehkan perkara ini, seolah-olah 1MDB tidak membabitkan kepentingan rakyat. Kini, bukan sahaja rakyat malah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional sendiri tidak boleh menerima penggunaan dana institusi-institusi awam seperti Tabung Haji, Takaful Malaysia, KWAP dan KWSP untuk menyelamatkan syarikat yang bermasalah itu.
Selagimana isu ini tidak diselesaikan secara telus dan mereka yang bertanggungjawab tidak dibawa ke muka keadilan, selagi itulah nampaknya Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Sri Najib Razak terus mendukung biawak hidup.