WALAUPUN kemeriahan sambutan Hari Raya Aidil Adha telah berlalu, namun suka penulis kongsi bersama semangat yang wajar kita resapi dalam reformasi diri ke arah yang lebih baik. Demi usaha ini, pelbagai aktiviti mengisi erti ‘pengorbanan’ telah diatur dengan rapi oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, masjid dan surau, jawatankuasa qariyah, badan-badan bukan kerajaan hinggalah ke ceruk-ceruk kampung seluruh tanahair, semuanya bersedia dengan aktiviti penyembelihan dan pengagihan daging haiwan qurban, ceramah-ceramah agama, doa selamat dan kenduri kesyukuran.
Sambutan meriah seperti ini tidak dinafikan, amat perlu dipergiat dan disyiarkan sebagai amalan kita mengimani perintah Allah S.W.T., namun perkara yang sama penting dan kita mungkin kerap terlepas pandang adalah usaha memahamkan umat Islam, khususnya golongan belia terhadap kefahaman dan motivasi dalam merubah diri dan komunitinya.
Sambutan yang juga dinamakan ‘Hari Raya Qurban’ ini juga sering dilihat dalam skop yang terbatas dalam ruang lingkup satu perayaan, ritual dan satu acara sambutan dalam kalendar tahunan umat Islam semata-mata.
Mungkin disebabkan sistem yang ada hanya menekan kepada menyambut hari raya qurban, dan bukannya merayakan dan menjiwai ‘budaya berkorban’. Qurban dalam bahasa Arabnya, berasal dari kata akar ‘Qaruba’ yang membawa maksud ‘telah dekat’ atau simbolik kepada satu tanda pengorbanan harta benda, jasad dan jiwa ke arah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Sirah banyak sekali mengajar kita akan erti pengorbanan yang bermatlamatkan meraih redha Allah S.W.T. Dari kisah terawal kewujudan manusia, di mana dua orang putera Nabi Adam a.s., iaitu Habil & Qabil telah diminta memberi korban tanaman dan ternakan yang terbaik kepada Allah S.W.T., kemudian diikuti dengan kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyerahkan anak kesayangan baginda iaitu Nabi Ismail a.s. sebagai korban kepada Tuhan yang kemudiannya digantikan oleh Allah S.W.T. dengan seekor kibas, hinggalah kepada kisah keberanian Saidina Ali k.w.h. tidur di tempat Nabi Muhammad S.A.W. di kala baginda dikepung musuh-musuh Islam.
Apakah intipati besar daripada pengajaran sejarah silam ini? Jelas, betapa orang muda, golongan belia Islam amat dituntut agar berani dan tidak sekali-kali gentar untuk berkorban.
M a r t a b a t pengorbanan di sisi Islam adalah tidak ternilai. Sehinggakan A l l a h S . W. T . berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat 111 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘membeli’ dari orang-orang Mukmin itu adalah perkataan simbolik yang menyatakan betapa Allah S.W.T. akan menukarkan apa saja pengorbanan harta, wang ringgit, tenaga dan masa orang-orang Mukmin dengan membalasnya dengan ganjaran Syurga. Ini adalah isyarat besar, bahawa budaya berkorban tidak bermusim sifatnya, tidak terhad kepada ritual penyembelihan haiwan qurban semata-mata, bahkan ia adalah satu ‘perniagaan akhirat’ yang memberi pulangan yang amat menguntungkan.
Generasi Muda & Semangat Qurban
Semangat dan motivasi terbesar yang wajar diwar-warkan di kalangan belia Islam adalah budaya untuk selalu memberikan yang terbaik dari apa yang ada pada setiap diri.
Agama hanya akan bangkit andai kita memberikan yang terbaik untuknya, sehinggakan timbul pesanan seorang pemikir Islam yang mengatakan “Jika kita berikan separuh masa kita pada agama, maka lahirlah Islam itu jenis Islam Separuh (halftime Islam) berbanding dengan jika kita memberikan masa yang terbaik untuk agama, maka lahirlah Islam Sepenuh Masa (full-time Islam)”.
Semangat kedua yang wajar diserap oleh generasi muda hari ini adalah perasaan belas kasihan sesama saudara Islam. Peristiwa qurban mengajar kita menyelami penderitaan saudara seagama kita di seantero dunia yang berdepan dengan ancaman kemiskinan dan kebuluran, belum lagi ditambah dengan ancaman peperangan dan kematian.
Ini semua perlu menjadikan hati kita terkesan, kerana setiap muslim itu bersaudara dan atas dasar itu, setiap susah senang harus kita hadapi bersama-sama.
Pengorbanan menuntut kita agar berani meninggalkan zon selesa atau ‘comfort zone’ kita selama ini yang sarat dengan segala kemanisan, kemewahan dan perhiasan dunia yang melalaikan. Ini adalah tembok pertama yang perlu bagi setiap belia Islam rempuh untuk berjaya menjiwai semangat pengorbanan.
Budaya bersantai, bersuka-suka dan berhibur dengan sewenang-wenangnya wajar ditamatkan segera. Apakah ertinya anak-anak
muda kita hari ini hebat bersorak tapi bukan setakat kampung tergadai, bahkan yang kita khuatir, maruah diri pun terkorban sama dek kelalaian menurut runtunan nafsu.
Cabaran kedua untuk meletakkan perasaan berani untuk berkorban ke dalam dada generasi muda Islam adalah dengan memahamkan mereka betapa Islam amat menghargai sumbangan orang muda, kerana pada usia inilah tenaganya terhebat, komitmennya paling tinggi serta keazamannya luar biasa memuncak.
Harapan untuk mempersiap golongan belia yang berani dan mampu meneraju kepimpinan negara akan datang tergambar dalam kata-kata pakar Sains Ketamadunan tersohor Islam, Ibnu Khaldun dengan katanya “Jika kita mahu melihat pemimpin akan datang, lihatlah kepada generasi hari ini”.
Agenda mempersiap belia Islam yang berani berkorban ke arah perubahan bukannya mudah. Untuk menganjak pemikiran dan sumbangan belia kita yang selama ini berorientasikan materi semata-mata wajar diangkat dan diberi makna baru. Matlamat menyumbang untuk mencapai pulangan berbentuk habuan kewangan dan pengiktirafan perlu dikikis dan diganti dengan budaya menyumbang untuk mencapai balasan yang bersifat maknawi.
Sumbangan dan pengorbanan yang terbaik adalah dengan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. dan bukannya keredhaan manusia sahaja. Untuk memecahkan sentimen menyumbang yang hanya mengharap kepada pulangan materi ini memerlukan usaha gigih semua pihak.
Kuncinya adalah dengan menyemai semangat ikhlas sejak kecil demi memudahkan misi ini. Usaha besar-besaran perlu digembling
segera demi memenuhi hasrat mempersiap generasi belia Islam yang berani.
BeliaIslam yang berani dan berkualiti ini amat diperlukan untuk menjayakan misi pembinaan modal insan negara, misi menangani
masalah sosial, misi membebaskan keluarga dari belenggu kemiskinan dan pelbagai lagi agenda mengangkat nilai umat tercinta ini.
Kita mahu melahirkan belia yang berani berkorban untuk agama dan bangsa, dan bukannya belia yang terkorban oleh tuntutan nafsunya sendiri. Kita juga mahukan belia kita terkorban di medan mempertahankan maruah agama, dan bukannya belia yang terkorban di lorong-lorong ganja, jalan-jalan raya dan lembah-lembah maksiat.
Semoga Aidil Adha yang baru dirayakan dan sambutan Awal Muharram yang bakal menjelang pada kali ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita untuk memacu momentum belia Islam untuk terus berada di barisan hadapan dalam agenda menyumbang untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.
Generasi belia Islam inilah yang diungkapkan di dalam al-Qur’an sebagai generasi ‘al-Qawiyyul Amin’, generasi yang punya upaya dan wibawa.
SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Eksekutif Komunikasi & Program
Penang Institute