Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Pengarah Eksekutif Penang
Institute merangkap
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Sekularisme dan liberalisme bukanlah istilah asing di negara ini, namun pemahaman rakyat Malaysia terhadapnya masih kurang jelas.
Pada zaman pasca-Merdeka, pemimpin-pemimpin pengasas negara kita kerap mengisytiharkan prinsip-prinsip tersebut sebagai batuan dasar falsafah kenegaraan mereka. Ini terbukti apabila perkataan “liberal” jelas terpapar dalam mukadimah Rukunegara. Dalam erti kata lain, istilah sekular dan liberal membawa maksud berperlembagaan dan terangkum.
Namun begitu, banyak yang sudah berubah. Pada hari ini, istilah yang sama mengundang konotasi negatif sehinggakan mereka yang dilabelkan sedemikian dianggap sebagai pengkhianat atau derhaka. Dalam erti kata lain, istilah sekular dan liberal kini membawa maksud tidak bertuhan dan sesat.
Dikotomi
Ada pula mereka yang mendefinasikan istilah ini sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Islam, misalnya dalam kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Pas ke-60 di Batu Pahat, Johor, beberapa minggu lalu. Dalam ucapan penggulungannya, presiden parti Melayu kedua terbesar selepas Umno telah membezakan ideologi partinya berbanding rakan-rakan Pakatan Rakyat dengan menyatakan bahawa perjuangan PAS yang berteraskan Islam tidak akan pernah sama dengan PKR yang berdasarkan “sekular pragmatik” dan DAP yang berideologikan “sekular sosialis.”
Dengan sedar mahupun tidak, kenyataan Hadi Awang telah membayangkan garis dikotomi antara Islam dan sekularisme, seolaholah kedua-dua entiti ini bukan sahaja berbeza malah bertentangan. Justeru, Islam dan sekularisme adalah asing dan tidak mungkin digandingkan.
Walaupun saya pasti tiga Perdana Menteri pertama Malaysia tidak akan bersetuju dengan Hadi Awang (malah, Perdana Menteri pertama dan ketiga pernah membuat kenyataan sedemikian), realiti di negara kita menunjukkan bahawa pendirian presiden Pas sudah menjadi kelumrahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.
Hakikat ini dicerminkan dalam kain rentang yang terpapar di luar universiti, pusat komuniti atau masjid yang sering membawa tajuk-tajuk seperti “bahaya sekularisme,” “sekularisme: ancaman utama kepada umat” ataupun “Islam vs sekularisme.”
Pada masa yang sama, persepsi ini turut disebarkan oleh media kawalan kerajaan. Seringkali mereka yang berpendirian sekular atau liberal akan dilabel sebagai ejen Yahudi atau Amerika. Secara kebetulan, ejenejen ini juga hampir selalunya ahli politik pembangkang atau penyokong pembangkang. Dengan kata lain, perbincangan yang rasional tidak dapat berlaku apabila istilah-istilah ini dibangkitkan.
Ambil sebagai contoh kes yang membabitkan rakan Parlimen saya, Nurul Izzah Anwar, semasa beliau berhujah atas isu kebebasan beragama. Secara khusus, beliau menyatakan bahawa hak kebebasan itu haruslah konsisten bagi Muslim dan juga bukan Muslim. Dalam pemikirannya, beliau hanya mengulangi perintah Al-Quran yang melarang pemaksaan dalam hal agama. Namun, dengan tidak semena-menanya, beliau telah dikecam seolah-olah menyokong hak Muslim untuk murtad.
Sudah tentu kita boleh menjangka reaksi melampau daripada golongan konservatif, namun isu murtad ini telah dihebohkan dengan begitu lantang sehingga Nurul Izzah terpaksa memberi penjelasan untuk mempertahankan diri. Daripada episod ini, jelas bahawa walaupun Utusan Malaysia tidak mencerminkan sentimen semua orang Melayu- Islam, masyarakat ini masih lagi dibelenggui ketakutan dan perasaan tidak yakin diri.
Penggabungan Islam dengan pemerintah
Lalu timbul persoalan, mengapakah orang Melayu-Islam di negara ini begitu takut dengan kebebasan, iaitu satu nilai fitrah manusia? Mengapakah mereka sanggup menghina agama Islam itu sendiri dengan seolah-olah mengatakan bahawa tanpa paksaan undang-undang, agama Islam akan hilang penganutnya? Adakah iman orang Melayu- Islam ini begitu tipis sehinggakan mereka akan keluar agama secara berbondong-bondong sekiranya diberi kebebasan?
Asal-usul ketakutan ini mungkin boleh disusul kembali kepada pengalaman kolonial serta keperluan yang timbul untuk mengabadikan hubungan feudal antara pemerintah dengan rakyat marhaen.
Berikutan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874 di antara pihak British dan Sultan Perak, maka bermulalah kehilangan kuasa Raja-raja Melayu dalam pentadbiran kecuali dalam hal ehwal berkaitan agama dan adat Melayu, lantas menjadikan Islam sebagai sumber utama kesahihan ataupun legitimasi buat Raja-raja Melayu.
Kini, peranan Raja-raja hanya sekadar pelindung simbolik agama. Namun demikian, dek kerana hubungan kuasa feudal harus dikekalkan, maka kaum pemerintah telah mengambil alih peranan Raja-raja sebagai pelindung adat Melayu-Islam.
Justeru, sejak dari tahun 1970an, pemerintah mula memperkuatkan monopolinya ke atas agama dengan penubuhan institusi-instusi Islam untuk melindung (atau mengawal) hal ehwal agama, misalnya Institut Dakwah dan Latihan Islam (Indah), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Kemuncak usaha ini pula adalah penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 1997, iaitu sebuah badan pusat yang bertujuan untuk menyelaraskan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Malaysia, meskipun kuasa pentadbiran Islam itu sepatutnya diagihkan kepada peringkat negeri.
Akibat daripada usaha sistematik untuk menginstitusikan agama ini, amalan Islam di Malaysia kini disifatkan dengan penguasaan ketat oleh pemerintah ke atas terjemahan dan pentadbirannya. Dengan kata lain, pemerintah menentukan segala aspek kehidupan orang Melayu- Islam, termasuk hukum menggunakan Facebook, mengamalkan senaman yoga ataupun menari pocopoco.
Oleh itu, adalah jelas bahawa penggabungan Islam dengan pemerintah telah mengakibatkan hubungan kebergantungan yang kemudiannya memperkukuhkan lagi ketidakyakinan diri orang Melayu-Islam. Kebebasan itu ancaman kepada kerajaan, bukan kepada Islam
Dalam konteks ini, apa-apa ideologi yang menggalakkan kebebasan berfikir dan kebebasan nurani akan dilihat sebagai ancaman kepada monopoli pemerintah ke atas Islam. Inilah sebab mengapa Jabatan Agama kini begitu obses dengan “bahayanya” sekularisme dan liberalisme.
Hakikatnya sebenarnya ironis, kerana negara sekular yang benar-benar berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi tidak akan mengancam agama Islam. Malah, ia dapat membebaskan agama daripada kepentingan diri pihak pemerintah, lantas memajukan lagi pemikiran dan wacana Islam.
Kita tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja kepada jiran kita. Walaupun Indonesia merupakan negara majoriti Muslim yang sekular dari segi perlembagaan dan liberal dari segi budaya, namun tidak ada ketakutan besar dalam kalangan Muslim di situ bahawa keimanan mereka tergugat. Malahan, amalan Islam di Indonesia dilihat umum sebagai lebih rencam, lebih bersemangat, dan, dengan ketiadaan pengawasan pemerintah, lebih jujur.
Keadaannya sama di Pulau Pinang pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 apabila gerakan islah Islam berkembang pesat sehinggakan negeri tersebut menjadi pusat serantau bagi penerbitan akhbar reformis Islam serta tafsir Al-Quran. Hal ini berlaku pada waktu Pulau Pinang mempunyai kerajaan British yang benar-benar sekular dan tidak mempunyai mufti atau raja yang menjaga urusan agama rakyat. Malah, mungkin hakikat itulah yang membenarkan perkembangan islah Islam dengan begitu pesat.
Jelas, kebebasan tidak mengancam Islam. Sekiranya pemerintah di Malaysia takut kepada kebebasan yang ditawarkan oleh fahaman sekularisme dan liberalisme, ia adalah kerana mereka takut kehilangan monopoli ideologi ke atas rakyat, dan seterusnya legitimasi atau hak berkuasa mereka.
Sebaliknya, saya berpendapat bahawa sekularisme dan liberalisme merupakan falsafah yang mampu memperkukuhkan amalan Islam. Sesungguhnya, masyarakat yang benar-benar Islam adalah masyarakat yang mempunyai kebebasan berfikir dan kebebasan nurani, serta kebebasan untuk mengamalkan Islam secara jujur dan bukan kerana paksaan atau tekanan.