Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera
merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute
SAYA tidak tahu sama ada harus ketawa atau menangis membaca kenyataan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh baru-baru ini, yang dengan megahnya menguar-uarkan kononnya tahap pengajian tinggi negara kita adalah bertaraf dunia dan setanding dengan negara maju seperti United Kingdom (UK), Jerman dan Australia.
Kenyataannya telah menarik kritikan daripada pelbagai pihak. Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, umpamanya menyatakan bahawa universiti-universiti di Malaysia tidak layak dibandingkan dengan universiti dari UK, Jerman dan Australia. Berdasarkan laporan QS World University Rankings 2014 yang turut digunakan oleh Idris Jusoh, tidak ada sebuah universiti Malaysia pun yang tersenarai dalam lingkungan 100 terbaik dunia. UK pula mempunyai 19 universiti dalam senarai 100 teratas termasuk empat dalam senarai 10 teratas, manakala Australia diwakili lapan universiti. Sementara itu, Jerman mempunyai tiga universiti dalam lingkungan 100 terbaik dunia. Sebaliknya, universiti terbaik Malaysia merupakan Universiti Malaya (UM) yang menduduki tempat ke-151 di dunia. Yang pastinya, walaupun 151 itu tidak lah tercorot, ia juga tidak boleh dianggap sebagai “bertaraf dunia.”
Siapa sebenarnya pelajar asing di Malaysia?
Antara hujah yang digunakan untuk menyokong kenyataan Idris Jusoh itu adalah hakikat bahawa terdapat 135,000 orang pelajar asing di Malaysia, iaitu 10 peratus daripada jumlah pelajar semasa di seluruh negara.
Jumlah ini memang ramai, namun barangkali ia memerlukan penelitian. Menurut statistik terkini Kementerian Pendidikan, iaitu laporan Perangkaan Pendidikan Negara: Sektor Pengajian Tinggi 2013, kita mendapati bahawa perincian negara asal pelajar asing di Malaysia.
Migrasi pelajar sehala dari Malaysia ke UK, Jerman dan Australia
Bercanggah dengan dakwaan menteri tersebut bahawa universiti kita setaraf dengan UK, Jerman dan Australia, statistik kementerian sendiri jelas membuktikan bahawa hubungan antara Malaysia dan “rakan setaraf” kita itu bersifat sehala semata-mata.
Pada masa yang sama, bilangan pelajar British, Jerman dan Australia di universiti di Malaysia pula adalah begitu kecil sehingga negara-negara ini tidak termasuk dalam senarai 35 negara asal pelajar antarabangsa di Malaysia. Sekiranya universiti kita boleh dianggap setaraf, mengapakah berpuluhan ribu pelajar Malaysia berebut untuk menyambung pengajian mereka di negara-negara tersebut dan tidak sebaliknya?
Ya, kita berjaya menarik pelajar antarabangsa tapi bukan kerana kita bertaraf dunia
Idris Jusoh telah membalas kenyataan saya dengan menegaskan bahawa nisbah 1:10 pelajar asing berbanding pelajar tempatan adalah bukti bahawa sistem pendidikan kita bertaraf dunia. Malah, beliau memetik satu laporan Unesco bertajuk Higher Education in Asia: Expanding Out, Expanding Up 2014 yang menyenaraikan “lima faktor penting” yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi ramai pelajar antarabangsa.
Faktor-faktor ini adalah: keselesaan budaya, kos, berbaloi untuk harga, bahasa pengantar serta kualiti hidup. Walaupun saya bersetuju bahawa faktor-faktor ini adalah kelebihan kita, saya ingin menyatakan bahawa tidak satu pun faktor ini menguatkan dakwaan bahawa kita menyediakan pendidikan yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.
Oleh itu, meskipun laporan Unesco membuktikan bahawa Malaysia adalah destinasi popular pendidikan tinggi, laporan yang sama juga menunjukkan bahawa populariti kita adalah berdasarkan kepada faktor yang praktikal seperti kemampuan dan keselesaan budaya. Bagaimana hal ini membawa kepada status bertaraf dunia?
Idris Jusoh juga menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan 16.5 peratus enrolmen pelajar antarabangsa pada tahun 2014. Peningkatan ini, menurut beliau, adalah lebih tinggi daripada angka pertumbuhan yang dicapai oleh Australia dan United Kingdom. Pada hemat saya, hujah sebegitu sengaja mengaburkan kebenaran.
Seperti yang kita semua tahu, sektor pendidikan tinggi di Australia dan UK adalah matang dan tepu, dengan pelajar asing membentuk sekitar 25 dan 18 peratus daripada jumlah pelajar di negara masing-masing.[1] Saya rasa tidak sukar untuk sesiapa sahaja melihat bahawa pertumbuhan ini sudah mencapai tahap optimum. Sebaliknya, tidak sukar bagi Malaysia untuk mencapai angka pertumbuhan tinggi dengan tahap sediakala yang rendah. Dengan hanya 10 peratus daripada jumlah pelajar kita berasal dari luar negara, sudah pasti tidak sukar untuk meningkatkan angka ini.
Lebih mustahak lagi, penting untuk memahami sifat pertumbuhan yang diuaruarkan ini. Sepertimana saya nyatakan di atas, pelajar antarabangsa kita sebahagian besarnya dari Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan. Ini dengan sendirinya tidak menjadi masalah, dan pelajar tulen yang mahu memajukan diri di Malaysia pasti dialu-alukan. Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa peningkatan pelajar asing ini adalah hasil kejayaan strategi penerokaan pasaran baru dan bukannya kerana kualiti sistem pengajian tinggi yang bertaraf dunia, sebagaimana yang disahkan oleh laporan Unesco tersebut. Dalam erti kata lain, kuantiti tidak seharusnya bermaksud kualiti.
Kita malah tidak setanding Singapura
Sebenarnya, kita tidak seharusnya membandingkan universiti kita dengan United Kingdom, Jerman dan Australia apabila kita tidak dapat dibandingkan pun dengan jiran kita Singapura. Dari segi kedudukan, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), yang berkongsi sejarah penubuhannya dengan UM, telah meninggalkan “saudaranya” jauh ke belakang. Dalam ranking terbaru, NUS berada di tangga ke-22 terbaik di dunia dan menjadi pertama di Asia.
Bahkan itu, sekiranya kita menggunakan hujah Idris Jusoh mengenai pendaftaran pelajar asing sebagai petunjuk kualiti, maka kemegahan menteri dengan pencapaian 10 peratus enrolmen pelajar asing jauh boleh ditertawakan kerana Singapura mempunyai 21 peratus pelajar asing pada tahun 2012.[2] Malah, Kerajaan Singapura kini telah mengenakan had untuk mengurangkan pengambilan pelajar antarabangsa kepada 15 peratus bagi membukakan lebih banyak tempat kepada warganya.
Dalam erti kata lain, persaingan bagi mendapat tempat di universiti-universiti Singapura adalah begitu hebat, tidak kurangnya dalam kalangan pelajar Malaysia yang berjumlah 3,016 orang di Singapura. Sebaliknya, terdapat hanya 606 pelajar Singapura di universiti di Malaysia, walaupun pada hakikatnya kita mempunyai jauh lebih banyak kolej dan universiti.
Menteri harus membuka matanya
Daripada berbangga kosong, Idris Jusoh sepatutnya memikirkan mengapa pelajar Malaysia bersaing mendapatkan tempat di universiti luar negara dan bukannya memilih untuk menyambung pengajian dalam negara. Jelas sekali, menteri kita hanya bermimpi jika beliau benar-benar menganggap universiti di Malaysia adalah bertaraf dunia, khususnya apabila hampir tiada pelajar Singapura, British, Jerman atau Australia di Malaysia berbanding dengan berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia yang belajar di negara-negara tersebut.
Jelas, Menteri Pendidikan kita memilih untuk tidak melihat fakta sebenar. Dengan melaungkan beberapa kejayaan terpilih dan mengabaikan kelemahan asas sistem pendidikan secara keseluruhan, Idris Jusoh tampaknya ingin memperbodohkan terdedah kepada risiko memperolok-olokkan dirinya dan semua rakyat Malaysia.
Hakikatnya, selagi kita tidak menangani kemerosotan kualiti sistem pengajian tinggi seperti yang dibuktikan oleh banyak kajian antarabangsa, bersama dengan masalah asas lain seperti kekurangan autonomi dalam tadbir urus universiti awam, penindasan ke atas kebebasan akademik serta ugutan berterusan kerajaan terhadap ahli akademik dan pelajar, kita tidak akan dapat benar-benar menggelar diri kita bertaraf dunia.
if (document.currentScript) {