SEDAR mengenai pentingnya peranan golongan belia, Kerajaan Negeri telah melancarkan inisiatif Pasukan Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan pada tahun 2020.
Inisiatif itu adalah selaras dengan Visi Penang2030 dalam meningkatkan penyertaan sosial golongan belia di negeri ini serta mewujudkan masyarakat yang progresif melalui pembangunan belia.
Objektif utama inisiatif yang digerakkan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) itu adalah untuk mendedahkan belia dalam aktiviti kesukarelawanan, di samping meningkatkan semangat patriotik serta membina hubungan yang baik dengan masyarakat.
Selepas hampir lima tahun sejak dilancarkan, Pasukan Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dan kini telah berkembang dengan cukup positif.
Menurut Pegawai Perhubungan Kanan PYDC, ONG CHING SHI, 28, memberitahu sehingga kini seramai 7,000 sukarelawan berumur antara 15 hingga 35 tahun telah berdaftar sebagai Sukarelawan Belia Pulau Pinang.
“Kami memanfaatkan inisiatif ini untuk meningkatkan jumlah sukarelawan belia dan pada masa sama bertindak mempromosikan aktiviti pembangunan belia di negeri ini.
“Hal ini penting supaya golongan belia diberikan peluang untuk menjalani latihan bagi meningkatkan pembangunan fizikal, mental serta kemahiran yang lain,” katanya ketika ditemui penulis Buletin Muitara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, ALISSALA THIAN dekat pejabat PYDC baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa belia yang mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan telah menunjukkan perubahan ketara terutamanya dari segi meningkatkan keyakinan diri.
“Hampir setiap bulan kami menerima jemputan daripada pertubuhan dan syarikat untuk mendapatkan tenaga sukarelawan untuk pelbagai aktiviti yang mereka jalankan.
“Namun begitu, kami sentiasa memantau, menilai dan memberikan keutamaan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada sukarelawan selain memastikan mereka mendapat pengalaman terbaik,” katanya.
Ching Shi berkata, walaupun PYDC adalah sebuah pertubuhan pembangunan belia, tetapi pihaknya tetap mengalu-alukan mereka yang berumur antara 38 dan 40 tahun ke atas yang berminat menjadi sukarelawan.
“Mereka tetap boleh menyertai Pasukan Sukarelawan Belia tetapi hanya berperanan sebagai mentor kepada sukarelawan muda.
“Ini kerana sesetengah sukarelawan kami mempunyai ibu bapa yang pernah terlibat dengan kami dengan menjadi sukarelawan aktif sebelum ini,” katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata bahawa PYDC turut mengiktiraf sukarelawan belia yang telah berkhidmat melebih 15 jam dalam tempoh setahun melalui “Anugerah Sumbangan Kecemerlangan 2024” dan “Anugerah Sumbangan Cemerlang 2024”.
NAIM FIRDAUS MAHATHIR, 16, merupakan penerima tempat pertama bagi Anugerah Sumbangan Kecemerlangan 2024 selepas berjaya mengumpul mata tertinggi, sebanyak 98 mata dalam tempoh setahun pada tahun 2023.
Naim Firdaus yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Balik Pulau ketika ditemui memberitahu bahawa dia mula terlibat dalam Sukarelawan Belia Pulau Pinang sejak dua tahun lalu atas dorongan daripada ibunya.
“Pada asalnya saya merupakan seorang yang sangat pemalu, tidak pandai berkomunikasi dengan orang lain dan sentiasa takut untuk berada dalam persekitaran yang ramai.
“Selepas menyertai PYDC sebagai sukarelawan, sikap saya mula banyak berubah dan menjadi sangat yakin diri dan mekahiran sosial dan komunikasi saya juga bertambah baik.
“Saya mula mendapat ramai kawan daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur menyebabkan saya lebih berani untuk bercakap, walaupun dengan orang yang tidak dikenali,” katanya ketika ditemui.
Naim Firdaus berkata, selain terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan, dia turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh PYDC seperti bengkel dan latihan.
“Paling bermakna pada saya ada ketika dapat menyertai kem kepimpinan yang memberi peluang kepada saya untuk mengetuai pasukan sekali gus menyerlahkan lagi bakat kepimpinan dalam diri.
“Aktiviti sukarelawan pertama yang lakukan adalah semasa bertugas sebagai penyemak tiket ketika perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya, dan saya berasa amat seronok dan teruja.
“Sejak dari itu, saya telah terlibat dalam banyak aktiviti sukarelawan lain, termasuk mengutip sampah di bawah Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Pesta Miao Hui, yang sangat popular semasa sambutan Tahun Baru Cina.
“Sebenarnya saya tidak pernah kira berapa jam saya melakukan kerja-kerja sukarewan kerana paling penting bagi saya adalah keseronokan semasa menjalani aktiviti tersebut.
“Oleh itu, apabila diberitahu bahawa saya telah memecahkan rekod dan mendapat tempat pertama sebagai penerima anugerah ini, barulah saya sedar bahawa saya telah berkhidmat sebanyak 98 jam dalam satu tahun,” jelasnya.
Justeru, Naim Firdaus berharap agar lebih ramai rakan-rakannya menyertai program sukarelawan itu pada masa akan datang.
“Saya dapati masih ramai golongan muda masih kurang pengetahuan mengenai kerja-kerja sukarelawan, dan misi saya adalah untuk menyebarkan mesej yang baik ini,” katanya.
Berada di tempat keempat, SERI SHAIZZUNNURAIN MOHD. SHAIZUARDY, 16, pula memberitahu bahawa dia terlibat dengan kerja sukarelwan setelah mendapat galakan daripada ibunya yang ketika itu turut menyertai pasukan sukarelwan PYDC.
Katanya, sejak kecil dia merupakan seorang yang pendiam dan suka menyendiri.
“Ibu kemudiannya menasihati saya untuk bergaul dengan masyarakat bagi meningkatkan keyakinan diri.
“Pada mulanya saya berasa agak keberatan tetapi saya mula mencuba dengan mengikuti ibu melakukan kerja-kerja sukarelawan.
“Dari situlah saya dapat merasakan personaliti saya mula berubah, yang mana saya dapat merasakan keyakinan diri saya kian bertambah terutamanya apabila berada di khalayak ramai.
“Kini, walaupun tanpa ibu, saya boleh menyertai aktiviti sukarelawan bersama dengan rakan-rakan yang lain,” katanya sambil tersenyum.
Seri Shaizzunnurain berkata, kerja sukarelwan yang paling bermakna sejak penglibatannya dengan PYDC adalah ketika Pesta Miao Hui, yang merupakan waktu bertugas yang paling panjang baginya setakat ini.
“Walaupun waktu bertugas adalah panjang iaitu dari pukul 2 petang hingga 11 malam, namun kami langsung tidak berasa penat.
“Saya juga suka mempromosikan PYDC kepada orang ramai semasa pesta tersebut berlangsung dan turut mengadakan program kitar semula bagi meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.
Sementara itu, KRYSTIAN AVIK LEE, 27, berkata dia mula meyertai PYDC sejak awal tahun ini ketika agensi itu sedang mencari sukarelawan bagi membantu Kerajaan Negeri semasa krisis air pada Januari lalu.
Sebagai guru tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan pengucapan awam, dia berkata penglibatannya dalam aktiviti sukarelawan telah memberi banyak manfaat kepadanya terutamanya pengetahuan mengenai selok-belok pentadbiran kerajaan.
Katanya, ini termasuklah peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri, badan-badan berkanuan serta agensi Kerajaan Negeri yang lain seperti PYDC.
“Ini membuatkan saya semakin berminat menyertai lebih banyak aktiviti sukarelawan pada masa hadapan,” ujarnya penuh yakin.
Tambahnya, memandangkan kelas bahasa Inggeris banyak berlangsung pada hari minggu (Sabtu dan Ahad) jadi agar sukar untuknya menyeimbangkan masa antara kerja dan aktiviti sukarelawan bersama-sama PYDC.
“Namun begitu, prinsip saya adalah apabila saya sukakan sesuatu, saya pasti akan lakukan yang terbaik untuk mengatasi halangan yang ada dan berusaha menumpukan kepada aktiviti-aktiviti sukarelawan,” katanya.
GOH QI SHEN, 18, yang merupakan ahli Pengakap Raja berkata dia hanya mengetahui tentang PYDC sebagai platform bagi aktiviti sukarelawan sejak tiga tahun lalu selepas menyertai Kursus Latihan Kemahiran Survival khas bagi Sukarelawan Belia Pulau Pinang.
Walaupun sedang bekerja sebagai pelatih di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong (Lim Hui Ying), Qi Shen berkata dia masih lagi aktif menyertai aktiviti sukarelawan bersama-sama PYDC.
“Selepas menyertai aktiviti sukarelawan PYDC, saya jadi lebih bersemangat untuk menyertai pasukan unit beruniform.
“Melalui platform ini, saya juga menjadi lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya sambil menambah bahawa dia juga bercadang untuk menggalakkan lebih ramai belia untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang.