Sertai Hike @ Youth Park edisi ke-2 dan menangi pelbagai hadiah menarik

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai yang berminat menyertai Hike @ Youth Park diseru untuk membuat pendaftaran sebelum 30 Jun ini.

Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaluddin berkata, program anjuran MBPP bersama-sama Kelab Pengembara Pulau Pinang (PAC) tersebut akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

“Program ini adalah satu bentuk riadah yang akan memberi peluang kepada para peserta untuk meluangkan masa di taman selain dapat mengenali kawasan hijau di sini.

Peta laluan bagi acara Hike @ Youth Park.

“Program ini akan berlangsung pada 21 Julai ini dan merangkumi jarak perjalanan sejauh 5  kilometer (km),” katanya pada sidang media dekat Pusat Informasi Taman Bandaraya, semalam.

Hadir sama, Ahli PAC, Vijay Nathan dan Lee Eric.

Mengulas lanjut, Rashidah memberitahu bahawa yuran penyertaan adalah sebanyak RM25 untuk dewasa dan RM15 (kanak-kanak) yang mana setiap penyertaan akan menerima sehelai kemeja-t, medal (penamat) dan juga sijil elektronik.

“Justeru, saya menyarankan kepada mereka yang mahu menyertai program ini supaya membawa botol air minuman sendiri bagi mengelakkan penggunaan beg plastik,” ulasnya lagi.

Difahamkan, pendaftaran bagi program tersebut boleh dilakukan di laman web https://event.howei.com/event/hike-youth-park-2019.

Hadiah cabutan bertuah seperti basikal, barangan elektrik dan hamper turut menanti para peserta.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: LAW SUUN TING