GEORGE TOWN – Pertubuhan amal yang menawarkan perkhidmatan penjagaan paliatif dan perubatan secara percuma, Charis Hospice bakal menganjurkan larian amal ‘Happy Feet Striding for Palliative Care 2.0’ bertempat di Food Bayana, Bayan Lepas pada 19 April 2025.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penganjuran kali kedua itu bukan sekadar larian amal tetapi juga memberi kesedaran mengenai perkhidmatan penjagaan paliatif kepada umum.
“Pada masa sama, acara ini bertujuan mengumpul dana bagi menyokong dedikasi dan perkhidmatan yang disediakan oleh Charis Hospice, juga salah satu usaha ke arah mempromosikan gaya hidup sihat
“Setiap langkah yang diatur dan setiap kilometer yang disempurnakan mencerminkan perjalanan penuh makna dalam memperkukuh kualiti hidup bagi mereka yang berada di bawah jagaan paliatif.
“Oleh itu, saya mempelawa semua, jom sertai larian amal ini dan tunjukkan tanda sokongan anda,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Charis Hospice, Lee Khai; Ahli Lembaga Charis Hospice, Kew Chii Shiang; Penganjur Larian Amal Charis Hospice 2025, Mah Ting Keong; Pengarah Perubatan Charis Hospice, Oo Loo Chan dan Eksekutif Pembangunan Charis Hospice, Winx Lee.
Wakil penaja iaitu Food Bayana, Analog Devices, Plexus dan Ong & Manecksha antara yang turut serta dalam sidang media tersebut.
Dalam pada itu, Lee Khai memberitahu bahawa penganjuran acara tersebut bukan sekadar mengumpul dana sebaliknya meningkatkan kesedaran umum mengenai penjagaan paliatif.
“Masih ramai yang kurang menyedari mengenai perkhimatan paliatif ini menyebabkan pesakit hanya dirujuk (di Charis Hospice) pada penghujung hayat mereka.
“Kami berharap lebih ramai individu akan memahami kepentingan penjagaan paliatif dan mendapatkan sokongan lebih awal bukan hanya pada peringkat akhir kehidupan,” katanya.
Lee Khai turut memaklumkan bahawa sasaran kutipan dana adalah sebanyak RM200,000 dengan penyertaan seramai 1,000 peserta.
“Sehingga kini, lebih daripada 600 individu telah mendaftar dan pendaftaran masih dibuka sehingga 16 Mac ini dengan yuran penyertaan sebanyak RM60 seorang,” jelasnya.
Maklumat lanjut, sila hubungi 011-1246 6757 atau melalui emel di [email protected] atau layari laman Facebook https://www.facebook.com/charishospice.
POSTER larian amal ‘Happy Feet 2.0 : Striding for Palliative Care’.
Oleh: NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD