Sertai pertandingan ‘tanglung hijau’

PULAU TIKUS – Pertandingan reka eko-tanglung kanak-kanak akan diadakan pada 7 September depan di tingkat G, Plaza Gurney di sini sempena perayaan Autumn Festival.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, usaha menghasilkan tanglung dari bahan kitar semula itu diharap dapat mempromosi lagi kempen kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak tempatan.

“Saya berharap program ini mendapat penyertaan kaum-kaum lain seperti Melayu, India dan lain-lain walaupun secara tradisinya ini merupakan budaya kaum Cina,” ujar beliau pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, program cakna alam sekitar itu dianjurkan secara bersama dengan Pusat Komuniti Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Midlands.

Soo Huey berkata, pertandingan dibuka terhad kepada 100 peserta yang berumur 12 tahun dan ke bawah.

Syarat lain, katanya, lampu tanglung mestilah menggunakan bateri terpakai dan saiz tanglung tidak melebihi 12 inci tinggi, 12 inci lebar dan 12 inci panjang.

Semua tanglung yang dihasilkan akan dinilai oleh juri pertandingan dan aspek kreativiti akan diberi keutamaan untuk dipilih sebagai pemenang.

Beliau berkata, pemenang akan menerima hadiah berupa wang tunai RM500 serta piala.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Pusat Khidmat Bukit Bendera, 11A College Square, 10250 George Town atau hubungi 04-228 5298 untuk maklumat lanjut.