Sertai program pemandulan bersubsidi haiwan terbiar, elak lambakan populasi

Admin
img 1119

SEBERANG JAYA – Bagi mengawal lambakan populasi haiwan terbiar di klinik veterinar swasta di seluruh Seberang Perai, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini bergiat aktif melancarkan program pemandulan bersubsidi.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, program tersebut juga bertujuan mengawal populasi haiwan terbiar berkeliaran serta memupuk sikap bertanggungjawab dalam penjagaan serta kebajikan haiwan kesayangan.

“Di bawah program pemandulan bersubsidi MBSP ini, pemilik haiwan peliharaan atau badan bukan kerajaan (NGO) boleh membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik veterinar swasta yang terlibat serta membayar caj pemandulan pada kadar harga yang rendah.

“Program ini terbuka kepada NGO serta orang awam di seluruh kawasan Seberang Perai dan boleh mendaftar melalui pautan Google Form atau boleh hadir secara terus ke klinik yang terlibat bermula 14 Mei sehingga 31 Disember 2024 ini.

“Kini terdapat lebih 450 ekor haiwan terbiar yang telah dimandulkan oleh pihak NGO terlibat meliputi sebanyak 57 kawasan TNR-M & CE (Trap, Neuter, Release, Manage & Community Engagement) yang berdaftar,” katanya semasa mempengerusikan sesi Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 5/2024 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

screenshot
DATO’ Azhar Arshad.

Mengulas lanjut, Azhar turut memaklumkan bahawa nilai peruntukan subsidi yang akan diberikan ialah sebanyak RM100 kepada setiap ekor anjing manakala RM50 untuk kucing.

“Untuk makluman, peruntukan subsidi ini tidak diberikan dalam bentuk tunai, tetapi telah termasuk dalam potongan harga kos pemandulan yang dikenakan oleh klinik yang dikunjungi.

“Antara klinik swasta yang terlibat adalah Klinik Veterinar Pet Wellness (Seberang Perai Utara), Klinik Veterinar Venice (Seberang Perai Tengah) dan Klinik Veterinar Introvet (Seberang Perai Selatan).

“Sehubungan itu, diharapkan lebih ramai orang awam termasuk NGO dapat memanfaatkan peluang ini dan membawa haiwan peliharaan atau haiwan terbiar mereka untuk dimandulkan mengikut kadar caj yang rendah,” jelasnya.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Veterinar MBSP di talian 04-540 2566 atau emel [email protected].

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD