PULAU TIKUS – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berharap Program Saringan Untuk Harapan: Menyingkap Masa Depan Yang Bebas, mampu menyebarkan kesedaran masyarakat dalam mengatasi penyakit kanser.
Jelas beliau, usaha mulia ini merupakan inisiatif proaktif Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Pulau Pinang.
“Seperti yang sedia maklum, telah menjadi suatu kerisauan peningkatan kes penyakit kanser akan meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2050.
“Oleh itu, diharapkan semua masyarakat tidak gusar untuk membuat pemeriksaan awal dalam mengatasi risiko penyakit kanser melalui program saringan yang bakal berlangsung selama tiga bulan ini.” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Zi Sen turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut menawarkan saringan kesihatan percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40) dan disertakan dengan bantuan rawatan yang sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid ketika ditemui memberitahu bahawa jelajah program saringan berkenaan bakal diadakan di beberapa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di bawah Parlimen Bukit Bendera.
“Program saringan ini bakal berlangsung selama tiga bulan meliputi beberapa lokasi terpilih iaitu di Gurney Plaza, hari ini (17 Februari 2024); di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Bendera pada 9 Mac 2024; Dewan MBPP Padang Tembak (20 April 2024) dan Dewan MBPP Tanjung Bungah (27 April 2024).
“Melalui program ini, pengunjung yang hadir boleh melakukan pemeriksaan kesihatan percuma; perundingan perubatan secara langsung; ceramah kesihatan oleh pakar perubatan serta vaksinasi papiloma untuk kanak-kanak kurang berkemampuan.
“Oleh itu, saya ingin menyeru semua masyarakat untuk bersama-sama dalam misi menangani peningkatan kes kanser di Malaysia dan terokai masa depan yang bebas kanser,” katanya yang turut berucap pada Majlis Perasmian Program Saringan Untuk Harapan: Menyingkap Masa Depan Yang Bebas di sini baru-baru ini.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT