GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima merangkap Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang 2024, Connie Tan Hooi Peng mengumumkan pendaftaran untuk menyertai sidang tersebut dibuka hari ini.
Kataya, seperti sidang sebelum ini, edisi kali ini juga akan dilaksanakan melalui empat fasa bermula Ogos hingga November.
“Justeru, dengan pengumuman pendaftaran yang dibuka hari ini saya menyeru wanita tanpa mengira latar belakang untuk tampil mendaftar dan rebut peluang sertai Sidang Wanita Pulau Pinang 2024 kali ini.
“Rangka program Sidang Wanita akan melalui empat fasa yang terdiri daripada Kepimpinan Wanita, Bengkel Pembangunan Wanita, Bengkel Persediaan Perwakilan dan Hari Persidangan yang akan mengumpulkan 40 peserta akhir untuk bersidang.
“Bagi meluaskan hebahan dan jemputan, Sidang Wanita kali ini, kita turut ambil pendekatan secara terus dengan beberapa pihak berkepentingan seperti institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor awam serta sayap wanita parti-parti politik tempatan untuk mempelbagaikan latar belakang dan bakat peserta,” ujar Hooi Peng pada Sidang Media Pengumuman Program Sidang Wanita Pulau Pinang 2024 dekat Auditorium A, Komtar di sini pagi tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng.
Bagi yang berminat, permohonan boleh dikemukakan melalui laman sesawang www.sidangwanita.my.
Siew Khim dalam pada itu memberitahu, selepas empat kali penganjuran, Sidang Wanita Pulau Pinang sudah melahirkan 160 orang pemimpin wanita yang digilap untuk mewarnai pentas politik tempatan.
Beliau yang juga ADUN Sungai Pinang, menyatakan keyakinan bahawa Sidang Wanita Pulau Pinang mampu terus menjadi wadah wanita di Malaysia untuk menaikkan skor Indeks Jurang Gender Global yang mana terkini berada di tangga 114 daripada 146 negara.