Sesi kunjungan hormat Pengarah Kastam ketengahkan isu kutipan hasil cukai dan penguatkuasaan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Negeri Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

Hadir bersama, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan), Roselan Ramli; Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Perkastaman), YM Raja Badri Shah Raja Azman; Penolong Pengarah Kastam Negeri (SST), Chan Tek Kai; Penolong Pengarah Kastam II (Pengurusan Korporat), Afizar Amir serta jurukamera, Mohamad Amirul Mohd. Khaidil.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, pelbagai isu telah dibangkitkan terutamanya melibatkan kawal selia sektor perdagangan rentas sempadan termasuk kutipan hasil cukai.

Abdul Halim Ramli menyerahkan cenderamata kepada Ketua Menteri selepas mengadakan kunjungan hormat sebentar tadi.

Roselan berkata, kutipan hasil cukai Kastam negeri Pulau Pinang bagi tahun 2021 menunjukkan sedikit kemerosotan berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1.58 bilion susulan penularan pandemik COVID-19.

“Namun begitu, kelapa sawit telah menyumbang kepada hasil cukai Kastam bagi negeri Pulau Pinang ekoran peningkatan harga komoditi itu di pasaran,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu penguatkuasaan terutamanya melibatkan kemasukan warga asing dan kegiatan penyeludupan dadah masih menjadi cabaran memandangkan kedudukan Pulau Pinang yang sangat strategik.

Dalam pada itu, Kon Yeow berpendapat bahawa syarikat pelabur yang sudah lama bertapak dalam negara khususnya di negeri Pulau Pinang wajar diberikan pelepasan cukai.

“Contohnya, Intel Corporation (Intel) yang telah bertapak di negara ini sejak 50 tahun lalu wajar diberikan pelepasan cukai untuk merangsang pelaburan semula daripada syarikat terbabit.

“Ini penting kerana Pulau Pinang sememangnya memerlukan lebih banyak pelaburan semula,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN