Sesi pendengaran awam bagi cadangan projek LRT Komtar – Bayan Lepas dibuka mulai 19 Ogos ini

Admin

PANTAI JEREJAK – Sesi pendengaran awam berkaitan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas bakal dibuka kepada umum selama tiga bulan, mulai 19 Ogos ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar orang ramai dapat mengambil peluang tersebut untuk mengemukakan sebarang maklum balas, cadangan, kritikan, permintaan dan sebagainya berkaitan projek berkenaan.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah menerima surat kelulusan dengan 30 syarat yang dikemukakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 18 Julai lalu.

Chow Kon Yeow menunjukkan senarai 30 syarat dikemukakan pihak APAD berkaitan cadangan pembinaan projek LRT Komtar-Bayan Lepas semasa mengadakan sidang media selepas merasmikan majlis penutup program Penang LRT Hunt sebentar tadi.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Tugas Kerajaan Negeri adalah untuk melihat syarat-syarat ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memenuhi segala tuntutan yang dikemukakan pihak APAD.

“Justeru, orang awam boleh memberikan segala maklum balas supaya Kerajaan Negeri dapat meneliti serta memberi jawapan sewajarnya sebelum kelulusan muktamat dikeluarkan oleh APAD dan Menteri Pengangkutan kelak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Penang LRT Hunt dekat Pasaraya Besar Giant Bayan Baru, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad serta wakil-wakil penaja.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya sebelum itu menyifatkan penganjuran acara ‘Penang LRT Hunt’ Siri Kedua hari ini lebih bermakna apabila Kerajaan Negeri telah menerima kelulusan bersyarat oleh Kementerian Pengangkutan bagi projek berkaitan.

“Saya bersyukur kerana ramai dalam kalangan rakyat Pulau Pinang yang memahami cadangan projek ini (LRT) telah menunjukkan sokongan secara tidak langsung dengan menghadiri program ini.

“Kita berharap agar rakyat akan terus berusaha dan memberi sokongan moral kepada Kerajaan Negeri untuk menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang pada masa akan datang,” ujarnya.

Difahamkan, program ‘Penang LRT Hunt’ Siri Kedua adalah kesinambungan daripada pertandingan “Sayangi Penangku Hunt” yang dianjurkan sempena bukan kemerdekaan pada tahun 2018.

Penang International Exchange (PIX ) tampil sebagai penaja utama pada tahun ini dengan kerjasama beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD