Sesi taklimat khusus pelaksanaan mySalam kepada ADUN, Ahli Parlimen

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini mengadakan sesi taklimat khusus berkaitan pelaksanaan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini dalam menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019.

 

Sesi taklimat tertumpu kepada pengenalan skim pelaksanaan mySalam serta  manfaat-manfaat yang diberikan dengan dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen serta Pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat di seluruh Pulau Pinang.

 

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng berkata sebagai seorang wakil yang dipilih rakyat, ADUN dan Ahli Parlimen perlulah memberikan khidmat terbaik dan berusaha untuk menyelesaikan segala permasalahan di peringkat akar umbi.

 

“Ianya bukan setakat soal kebajikan, sosial, pembangunan setempat dan lain-lain malah hal-hal berkaitan dengan urusan pentadbiran kerajaan serta rujukan untuk rakyat membuat sebarang urusan tuntutan.

 

“Setelah mengambil alih Putrajaya, Kerajaan Pakatan Harapan telah melaksanakan beberapa program untuk rakyat terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan seperti mySalam, Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan e-Kasih.

 

“Saya dapati ramai di antara kita tidak mendapat maklumat lengkap berkenaan pelaksanaan program-program ini serta bagaimana harus kita membantu rakyat untuk menyebarkan maklumat dan tatacara permohonannya.

 

“Justeru, di harap sesi taklimat khas ini digunakan sebaik-baiknya untuk memahami pelaksanaan skim-skim berkenaan agar memudah cara kita membantu rakyat,” ujarnya pada sesi taklimat di sini pagi ini.

 

Hadir sama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota) dan Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang).

 

MySalam adalah skim perlindungan kesihatan nasional hasil inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu B40 yang juga penerima BSH 2019 yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun.

 

Mereka yang layak untuk skim ini akan dimaklumkan melalui SMS bermula pada 1 Mac atau boleh e-mel kepada [email protected] atau hubungi talian 1 300 888 938 untuk maklumat lanjut. Skim ini akan dilaksanakan selama lima tahun iaitu dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2023.