GEORGE TOWN – Sesi perbincangan awam bagi Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) khusus mengenai projek pintasan lebuh raya Penang Island Link 1 (PIL1) bakal diadakan di Setia SPICE Convention Centre pada 20 September 2018 mulai jam 8 malam.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, sesi ‘townhall’ itu diadakan atas permintaan Jabatan Alam Sekitar, dan dikendalikan oleh syarikat perunding EIA Wiranda (M) Sdn. Bhd..
“Sesi (townhall) ini dibuat atas permintaan Jabatan Alam Sekitar khusus untuk (mendapatkan maklum balas) untuk PIL1 sahaja, kita harap isu TMP (Pelan Induk Pengangkutan) secara umum tidak dibawa pada sesi ini nanti.
“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) berharap sesi ini akan memberi maklum balas secara meluas kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya percaya kalau kita fokus kepada PIL1 sahaja, banyak perkara akan dibangkitkan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 13 September 2018.
Menjawab soalan pemberita, wakil penganjur memberitahu bahawa pihaknya turut menunggu jawapan ‘Menteri’ sama ada akan hadir atau tidak dalam sesi perbincangan awam itu, kelak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD