Set peranti komputer bantu peniaga mikro tingkatkan perniagaan melalui platform e-dagang

PENULARAN pandemik COVID-19 sejak awal tahun 2020 lalu telah memaksa usahawan-usawan mikro beralih kepada kaedah pemasaran produk secara digital bagi meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Menyokong perubahan tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbangkan bantuan set peranti komputer kepada peniaga mikro yang layak di negeri ini melalui Skim Perintis Program Usahawan Mikro Go Digital.

Difahamkan, seramai 350 usahawan akan menerima bantuan tersebut secara berperingkat yang mana setiap sesi bakal melibatkan 10 penerima sehingga selesai pemberian keseluruhan 350 unit set peranti komputer dalam tempoh terdekat.

Bagi salah seorang penerima set peranti komputer fasa pertama baru-baru ini, NUR AIMI RAZAK, 29, secara peribadinya menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana menjadi salah seorang peserta yang terpilih daripada 1,808 permohonan yang diterima pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak program berkaitan dilancarkan baru-baru ini.

“InsyaAllah kami akan memanfaatkan penggunaan komputer yang diberi ini dengan sebaik mungkin memandangkan aktiviti jualan pada musim pendemik kini banyak dijual secara digital (online).

“Banyak manfaat daripada penggunaan peranti komputer percuma ini… salah satunya, ia mampu memberi kemudahan secara total kepada peniaga bagi meningkatkan hasil jualan secara maya dan merangka strategi pemasaran yang bersesuaian dengan zaman pendigitalan ini.

“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri, khasnya Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan) serta PDC atas sumbangan ini,” ujarnya yang mengusahakan perniagaan perkongsian bersama ibunya sejak 2017 di bawah jenama FnC Kola Enterprise.

Memfokuskan penghasilan produk makanan berasaskan kelapa, sehingga kini usahawan muda ini telah mengeluarkan beberapa produk makanan seperti dodol berperisa asli, pandan dan durian, pes perencah rendang pedas, rendang tok dan rendang hitam serta kuah kacang segera.

Selain jualan langsung yang dijalankan di Gerai Perda Kuala Sungai Pinang dekat Balik Pulau, Nur Aimi juga turut mempromosikan jualannya melalui platform Facebook di bawah jenama Dodol Penang by FnC Kola, Instagram (dodol_penang) dan Shopee (FnCK).

ok

Pemilik GChin Enterprise, CHIN JIA YI, 29, pula menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengambil inisiatif tambahan bagi membantu golongan usahawan mikro menjalankan perniagaan secara digital.

Beliau yang mengusahakan perniagaan Three Tiers Ice Cream menyifatkan pemberian tersebut sebagai dorongan yang tiba tepat masanya bagi usahawan kecil sepertinya memandangkan peranti digital penting untuk mempromosikan perniagaan.

“Dengan adanya peranti digital ini akan membolehkan usahawan kecil memiliki kelebihan untuk mengendalikan perniagaan secara dalam talian.

“Ia adalah ‘batu loncatan’ untuk mengembangkan lagi perniagaan saya dengan meluaskan khalayak pembeli menerusi dalam talian seperti yang dilakukan kini saya mempromosikan perniagaan di pelbagai medium media sosial,” ujarnya yang menjalankan perniagaan sejak tahun 2019.

ok

Nada sama turut dizahirkan oleh pemilik perniagaan Rezki Barokah Maju Enterprise, AZIRAH CHE PA, 49, yang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan bantuan set peranti komputer yang sangat diperlukan ketika ini.

“Dengan peranti ini, saya dapat memfokuskan perniagaan dalam talian dengan lebih berkesan melalui penggunaan platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada untuk memasarkan produk saya iaitu tudung dan telekung sembahyang.

“Selain itu, saya juga dapat menggunakan platform Facebook untuk meningkatkan hasil jualan.

“Dengan adanya set peranti komputer ini akan memudahkan saya untuk mencatat sebarang transaksi hasil jualan secara langsung melalui komputer kerana sebelum ini saya hanya mencatat hasil jualan secara manual menggunakan buku, keadaan ini menjadikan proses perniagaan lebih mudah dan cepat,” kata Azirah yang telah menjalankan perniagaan selama lapan tahun.

ok

Ketika dihubungi Buletin Mutiara, P. KALAI ALEXANDER, 41, memberitahu bahawa perniagaan perusahaan sandwich dalam talian yang diusahakannya mampu bertahan sehingga kini ekoran permintaan yang menggalakkan.

Jelasnya, penggunaan peranti komputer dan pemasaran kaedah digital sememangnya merupakan keperluan utama beliau untuk mempromosikan produknya secara dalam talian pada tempoh penularan pandemik COVID-19.

“Selama ini saya menggunakan tablet sejak menjalankan perniagaan dalam talian dan set peranti komputer yang diberikan ini pastinya akan meningkatkan aliran perniagaan saya kelak.

“Ia sekali gus memudahkan saya untuk membuat reka bentuk (promosi) baharu untuk pemasaran perniagaan memandangkan ciri (komputer) lebih mesra pengguna dan sesuai untuk semua orang,” kata pengendali Pemasaran Gajavel Food & Beverages (F&B) tersebut.

ok

Bagi MAJIDA IBRAHIM, 52, yang menjual karipap pusing sejuk beku berkata bahawa set peranti komputer yang diterima dapat membantu beliau untuk menyesuaikan diri dengan normal baru.

“Dengan menggunakan peranti komputer ini, saya dapat mempelajari perkara baru dan akan meningkatkan kemampuan saya untuk menguasai pengetahuan digital sekaligus membuka peluang yang lebih besar bagi pemasaran produk saya.

“Selain itu, ia juga dapat membantu saya menyusun semula perniagaan dengan lebih memfokuskan kepada platform digital.

“Justeru, saya berharap agar sumbangan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan saya dalam perniagaan yang kini terjejas kerana penularan pandemik COVID-19,” kata Majida yang telah berkecimpung dalam bidang perniagaan selama lebih 14 tahun.

Teks & Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF & SUNARTI YUSOFF