GENAP setahun barisan kepimpinan peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) yang baharu dipilih setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung pada 12 Ogos 2023 mengemudi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Salah seorangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, WONG HON WAI yang telah diangkat untuk memikul tanggungjawab sebagai Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), satu portfolio yang dilihat antara penggerak ekonomi negeri.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS diberi peluang menemu bual Hon Wai di pejabatnya baru-baru ini.
Memulakan bicara, Hon Wai menyentuh mengenai lonjakan penambahan penerbangan terus antarabangsa yang meningkat berbanding tahun lalu.
Katanya, statistik pada tahun 2023 menunjukkan penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang adalah sebanyak 255 penerbangan setiap minggu.
“Bagi tahun ini sehingga Jun sebanyak 299 penerbangan seminggu dicatatkan, peningkatan sebanyak 17.25 peratus.
“(Dan) terbaharu adalah Hong Kong Express juga akan terbang ke Pulau Pinang dalam masa terdekat.
“Ini merupakan usaha berlipat ganda oleh pihak PETACE, bukan datang begitu sahaja, kami ke luar negara seperti ke Shanghai, China baru-baru ini menyertai International Tourism Bourse (ITB), selepas tiga minggu saya mengangkat sumpah, telah pulihkan semua penerbangan terus Shanghai ke Pulau Pinang,” ujarnya.
Malah, kata Hon Wai lagi, syarikat seperti Juneyao Airlines dan Hong Kong Express turut memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pertama di Malaysia.
Selain itu, menurut Hon Wai, PETACE turut mengadakan lawatan ke India bagi menguruskan penerbangan terus Chennai (India) ke Pulau Pinang melalui Indigo Airlines.
“Apabila kehadiran penerbangan terus meningkat, kita juga perlu uruskan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sini agar proses kemasukan berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengulas, pertambahan pusat konvensyen di Pulau Pinang turut menaikkan nama Pulau Pinang antara lokasi penganjuran acara skala besar ke negeri ini.
“Ini sudah pastinya berbeza dengan 10 hingga 15 tahun dahulu, dengan adanya pusat konvensyen seperti di SPICE Convention Centre; Butterworth Arena dan bakal bertambah di The Light Waterfront dijangka akan meningkatkan lagi permintaan.
Pelancongan tempatan tidak terkecuali mendapat perhatian Hon Wai yang mana PETACE turut terlibat dalam mempromosikan kapal pelayaran dan musim buah-buahan khususnya musim durian.
“Seperti yang kita lihat, masa sahaja musim durian, Pulau Pinang akan ‘dilanda’ kesesakan luar jangka, durian sudah menjadi suatu publisiti bagi Pulau Pinang hingga menarik pelancong antarabangsa.
“Ini sekali gus memberi satu limpahan ekonomi menerusi pelancongan di kawasan lain juga kerana apabila datang ke sini lazimnya mereka akan ke tempat-tempat lain juga,” ulasnya lanjut.
Selepas saban tahun acara larian Penang Bridge International Marathon (PBIM) mengambil tempat di Jambatan Pulau Pinang, tahun 2024 Hon Wai mengambil keputusan mengubah ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua).
Keputusan itu diambil setelah beliau mengambil bahagian dalam salah satu acara berbasikal tahun lalu dan merasakan Jambatan Kedua lebih sesuai dan memberi sedikit cabaran.
“Sebelum ini PBIM pernah dianjurkan di Jambatan Kedua oleh mantan Exco, tetapi bermula di Batu Maung (pulau), tahun ini setelah berbincang dengan pihak swasta mereka setuju untuk kerjasama dan akan bermula di Seberang Perai untuk kali pertama dalam sejarah penganjuran PBIM.
“Saya rasa lokasi di sana (Batu Kawan) lebih luas, lebih mudah untuk kehadiran yang ramai, parkir termasuk bas perantara untuk bawa para peserta.
“Ini mungkin lebih baik untuk aliran trafik di sebelah pulau pada hari larian, sebab kita tahu di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pun sekarang ada projek naik taraf.
“Jadi larian di Jambatan Kedua tidak perlu libatkan jalan biasa terlalu banyak seperti laluan di Jambatan Pulau Pinang dan kita harap tahun ini segalanya lebih lancar,” jelasnya yang turut memaklumkan bahawa penganjuran PBIM adalah acara berprestij di bawah Association of International Marathon and Distance Race (AIMS).
Mengakhiri temu bual, Hon Wai juga berharap perancangan akan datang dapat memajukan juga sektor pelancongan di Seberang Perai.
Pihaknya juga ‘menagih’ kerjasama dengan Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) supaya dapat menarik lebih banyak acara untuk dilangsungkan di Seberang Perai.
“Tidak ketinggalan adalah aktiviti kesenian seperti Butterworth Fringe Festival (BFF) yang mungkin boleh diadakan pada hujung minggu.
“Program sedemikian boleh bagi galakan cuma seniman atau artis perlu galas tanggungjawab juga untuk pengisian menarik.
“Mereka (artis) perlu koordinasi, seperti acara Bon Odori, Kerajaan Negeri bagi galakan sahaja, tetapi pengisian program berjaya menaikkan acara tersebut,” katanya.