Setiap keluarga disaran sediakan satu ruang membaca di rumah

SEBERANG JAYA – Setiap keluarga di negeri ini disarankan supaya mewujudkan satu ruangan khas untuk menempatkan koleksi bahan bacaan bagi kegunaan seluruh keluarga di rumah.

Saranan itu diutarakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 2021 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) dekat sini semalam.

“Ibu bapa merupakan individu yang sangat penting dalam memupuk minat membaca anak-anak dan mereka perlu menjadi model peranan dengan menawarkan budaya gemar membaca di rumah.

Para peserta yang hadir menunjukkan poster Jom Baca Bersama 2021.

“Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini kepada perpustakaan semata-mata sebaliknya perlu bersama-sama memperkasakan budaya membaca di negeri ini.

“Malah, amalan membaca juga wajar dijadikan sebagai gaya hidup manakala institusi perpustakaan pula menjadi rumah kedua bagi kita semua.

“Ini kerana membaca adalah langkah permulaan kepada segala kemajuan selain dapat melahirkan generasi yang mempunyai fikiran kelas pertama dan seterusnya membentuk ketamadunan negara,” katanya lagi.

Hadir sama pada program tersebut adalah Timbalan Pengerusi Lembaga PPAPP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat serta Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh.

Tambah Abdul Rahman, peranan perpustakaan yang begitu signifikan dalam memacu pembangunan negara sememangnya tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kegigihan pihak perpustakaan dalam melaksanakan pelbagai program saban tahun untuk memupuk amalan membaca dan seterusnya membantu masyarakat celik maklumat.

Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bersama-sama para jemputan khas dan kakitangan PPAPP menunjukkan poster Jom Baca Bersama 2021.

“Secara tidak langsung penglibatan bersama tanpa mengira kaum, stratifikasi sosial dan status ekonomi ini dapat mengeratkan lagi perpaduan rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, adalah menjadi harapan saya agar masyarakat dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di perpustakaan ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Mustafa Kamal memberitahu bahawa Perpustakaan Awam Pulau Pinang telah menerima keahlian baru seramai 11,143 orang sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

“Selain itu, dalam tempoh sama Perpustakaan Awam Pulau Pinang juga menerima pengunjung secara fizikal seramai 310,685 orang manakala pengunjung maya pula adalah seramai 578,037 orang,” katanya.

Difahamkan, Program Jom Baca Bersama 2021 diadakan serentak di semua perpustakaan awam negeri dan daerah selain beberapa buah sekolah serta institusi pengajian tinggi di negeri ini bermula jam 11.00 pagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS