PADANG KOTA – Seramai 120 wakil Komuniti Madani dari semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini menerima watikah pelantikan hari ini.
Watikah tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan diiringi oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Fahmi berkata, kesemua 1,878 Komuniti Madani yang diwujudkan di seluruh negara masing-masing akan diberikan geran tahunan bernilai RM10,000 untuk perbelanjaan pengurusan serta aktiviti dan program pada peringkat akar umbi.
“Harapan kita adalah semua yang terlibat dalam Komuniti Madani akan dapat membantu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat yang tepat tentang dasar serta program kerajaan kepada komuniti.
“Hari ini, dengan adanya internet tahap 5G, biasanya fitnah serta maklumat palsu akan tersebar dengan pantas, dan diharapkan dengan adanya Komuniti Madani, kita dapat menangani isu-isu ini secara lebih terancang.
“Malah, ia juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk pastikan media bebas membuat pelaporan tanpa kekangan, dan pada masa sama, kita dapat sediakan platform kepada rakyat untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program Jiwa Madani Parlimen Tanjong dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Al-Mashoor di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng serta Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan penubuhan Komuniti Madani yang bakal menjadi platform berkesan untuk menyalurkan maklumat kepada seluruh rakyat di negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan Negeri untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan rakyat mendapat informasi yang jelas, betul dan tepat daripada pihak Kerajaan Persekutuan mahupun negeri,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALLISALA THIAN